UFC masih melobi pertarungan semula Khabib vs McGregor
Hilmi Ismail
Januari 27, 2021 13:35 MYT
Januari 27, 2021 13:35 MYT
Nama Khabib Nurmagomedov dan Conor McGregor memang tidak asing lagi buat peminat tegar sukan seni bela diri campuran (MMA).
Malah, dua bintang besar MMA yang masing-masing dari Rusia dan Ireland ini juga mampu menarik minat penonton bukan tegar untuk menyaksikan acara UFC setiap kali nama mereka muncul pada 'fight card'.
Maka oleh sebab itulah Presiden UFC, Dana White masih belum mampu 'melepaskan' Khabib walaupun juara kelas lightweight itu telah mengumumkan persaraan Oktober lepas.
Bercakap kepada kepada The National, White berkata sebagai seorang penganjur, adalah tugasnya untuk merialisasikan pertarungan semula antara Khabib dan McGregor.
Wang dan legasi mereka sebagai petarung adalah perkara utama dalam strategi UFC untuk memujuk kedua-dua Khabib dan McGregor untuk bersetuju bertarung sekali lagi.
"Ia adalah pertarungan yang melibatkan wang yang banyak. Kedua-dua mereka akan menjana pendapatan yang sangat tinggi," kata White.
"Yang kedua, ia adalah pertarungan penting bagi legasi mereka. Jika anda Conor, anda pasti mahu membalas dendam atas kekalahan di tangan Khabib.
"Dan jika anda Khabib pula, anda mahu menewaskan Conor dua kali untuk membuktikan (yang terbaik)," tambah White.
Pada Oktober 2018 dalam pertarungan pertama mereka, Khabib berjaya menewaskan McGregor menerusi kuncian leher pada pusingan keempat sekali gus mengekalkan status juara lightweight UFC.
Pertarungan yang berlangsung dalam acara UFC 229 itu mendapat sambutan luar biasa apabila mencatatkan sejarah sebagai acara 'pay-per-view' (PPV) dengan penjualan tertinggi dalam sejarah MMA, iaitu sebanyak 2.4 juta pembelian.
UFC juga berjaya mengutip lebih daripada AS$17 juta (RM68.79 juta) hasil dari penjualan tiket.
#Khabib Nurmagomedov
#Conor McGregor
#MMA
#UFC
#Presiden UFC
#Dana White
#seni bela diri campuran
#pertarungan semula
#Khabib vs McGregor