UFC: Lawan Diaz, kemudian Poirier, lupakan 'rematch' dengan Khabib - nasihat Duffy kepada McGregor
Agensi
Januari 29, 2021 00:40 MYT
Januari 29, 2021 00:40 MYT
MENANG atau kalah, sudah menjadi adat setiap pertarungan. Namun, kekalahan itu boleh ditebus dengan membuat ‘rematch’ atau pertarungan semula.
Baru-baru ini, bintang MMA Conor McGregor menerima gesaan daripada bekas petarung UFC, Joe Duffy, supaya menentang Nate Diaz terlebih dahulu kerana ia pertarungan yang 'wajib menang'.
Memetik laporan The Sun, McGregor, 32, dilihat masih dalam keadaan dilemma selepas ‘dimalukan’ oleh bekas juara interim lightweight UFC Dustin Poirier pada aksi UFC 257 di Abu Dhabi minggu lalu.
Jaguh kelahiran Ireland itu bagaimanapun dikatakan tidak dapat menerima kekalahan itu dan inginkan peraturan semula dilakukan segera.
Ia kerana McGregor mahu menebus maruahnya yang tercalar selepas kekalahan tersebut yang menyaksikan Poirier, 32, menumpaskan McGregor menerusi TKO (technical knockout) pada minit 2:32 pusingan kedua.
Namun, ketika McGregor melakukan persiapan bagi memperjuangkan namanya di dalam gelanggang Octagon, Duffy mencadangkan, adalah lebih baik jika McGregor bertemu Diaz terlebih dahulu sebelum mengadakan pertarungan semula dengan Poirier.
Malah, Duffy yang pernah mengalahkan McGregor sewaktu bertarung di Cage Warriors pada 2010 turut berpandangan bahawa perlawanan di antara McGregor dan Diaz kurang berisiko.
“Sekiranya saya adalah McGregor, saya akan pilih untuk berlawan dengan Diaz terlebih dahulu. Kerana bagi saya, perlawanan itu boleh memberikan kemenangan mudah buat saya.
“Diaz tidak banyak kemajuan, sehebat-hebat dia pun, dia tidak seperti anda yang akan melihat strategi perlawanan yang berbeza daripada dirinya.
"Saya rasa ini adalah pertarungan yang lebih baik untuknya, mungkin itu adalah pertaruhan terbaiknya seterusnya, kemudian baru dia boleh berfikir untuk bertarung dengan Dustin,” tegas Duffy.
McGregor dan Diaz pernah bertarung sebanyak dua kali sebelum ini dan mereka masing-masing berjaya mencatatkan satu kemenangan antara satu sama lain.
Kedua-dua pertarungan tersebut berlangsung dalam kelas welterweight. Tetapi bagi pertarungan ketiga ini, lebih wajar mereka bertarung dalam kelas lightweight.
Perkara ini dianggap perlu kerana McGregor sudah menyatakan hasratnya untuk bergelar juara kelas lightweight buat kali kedua.
Sementara itu, mengulas mengenai pertarungan semula ‘Khabib vs McGregor’ pula, Duffy akui bahawa McGregor harus melupakan hasrat untuk menebus kekalahan yang dialaminya dahulu.
“Sara rasa (pertarungan itu) dah lapuk, secara jujurnya buat masa ini saya tidak begitu minat dengan petarungan semula (Khabib vs McGregor).
“Mungkin jika ada lebih drama dan pertarungan itu semakin hampir, saya akan minat,” katanya.
#Connor McGregor
#UFC
#Dustin Poirier
#Abu Dhabi
#Joe Duffy
#Nate Diaz
#Khabib Nurmagomedov
#UFC 257