UFC: Jon Jones tewaskan Reyes, kekalkan kejuaraan light heavyweight
Haider Yutim
Februari 9, 2020 15:29 MYT
Februari 9, 2020 15:29 MYT
PETARUNG Amerika Syarikat Jon Jones mengekalkan kejuaraan dunia yang disandangnya selepas menumpaskan rakan senegara, Dominick Reyes pada Ahad.
Sungguh pun kemenangan memihak kepada Jones, namun keputusan sebulat suara (unanimous decision) oleh para juri itu mengejutkan peminat dan disifatkan sebagai keputusan yang ‘kontroversi’.
Ini berikutan Reyes yang dilihat lebih banyak mendominasi perlawanan, iaitu sekurang-kurangnya tiga daripada lima pusingan yang berlangsung dalam acara utama UFC 247 di Houston, Texas itu.
Pertarungan light heavyweight sebentar tadi itu menyaksikan Reyes mengasak Jones pada awal pusingan, membuatkan petarung ‘pound for pound’ nombor satu UFC itu hampir goyah.
Mementum diteruskan hingga ke pusingan ketiga, namun pada pusingan keempat, Reyes yang sudah banyak menggunakan tenaganya mula memperlahankan rentaknya.
Peluang ini sekali gus diambil oleh Jones yang dilihat mendominasi perlawanan pada pusingan seterusnya.
Setelah tamat pusingan kelima, ketiga-tiga juri memberi markah 48-47, 48-47, 49-46 yang memihak kepada Jones.
Dengan kemenangan tersebut, Jones yang hanya pernah tewas sekali sepanjang kariernya, kini melebarkan rekodnya kepada 26-1.
#Dominick Reyes
#Houston
#Jon Jones
#kejuaraan light heavyweight
#light heavyweight
#Texas
#UFC
#UFC 247