UFC: Jessica Andrade rampas takhta strawweight, dua lagenda Brazil tumpas

Haider Yutim
Mei 12, 2019 15:12 MYT
Andrade, 27 tahun, dari Brazil menumpaskan lawannya dari Amerika Syarikat menerusi knockout pada minit 2.58 pusingan kedua. - Foto Instagram/UFCBrasil
JESSICA Andrade berjaya merampas gelaran strawweight wanita selepas menundukkan juara bertahan, Rose Namajunas dalam aksi UFC 237 di Rio de Janeiro, pada Ahad.
Andrade, 27 tahun, dari Brazil menumpaskan lawannya dari Amerika Syarikat menerusi ‘knockout’ pada minit 2.58 pusingan kedua.
Semasa pusingan pertama, Andrade diasak oleh Namajunas menerusi tumbukan padunya ke bahagian muka.
Bagaimanapun pada pusingan kedua, Andrade berjaya menukar strategi, dan mempertahankan dirinya dari tumbukan Namajunas.
Dia kemudiannya mengangkat Namajunas dan menghempas lawannya itu ke lantai Octagon, sekali gus memaksa pengadil Herb Dean menghentikan perlawanan.
Kemenangan itu melebarkan lagi rekod MMA yang dipegang Andrade kepada 20-6.
Sementara itu, dua lagenda MMA Brazil, Anderson Silva dan Jose Aldo pula tewas kepada lawan masing-masing di gelanggang sendiri.
Silva tumpas kepada petarung Amerika, Jared Cannonier menerusi TKO pada minit 4:47 pusingan pertama.
Manakala, Aldo pula kalah kepada Alexander Volkanovski dari Australia menerusi keputusan juri selepas tamat tiga pusingan.
#Anderson Silva #Jessica Andrade #Jose Aldo #Rio de Janeiro #Rose Namajunas #strawweight wanita #Strawweight World Champion #UFC #UFC 237
;