UFC: Islam Makhachev mahukan 'title fight' selepas kemenangan mudah ke atas Bobby Green
Haider Yutim
Februari 27, 2022 12:07 MYT
Februari 27, 2022 12:07 MYT
PETARUNG sensasi lightweight, Islam Makhachev mencatatkan kemenangan kesepuluhnya dalam UFC, selepas menewaskan Bobby Green dalam acara utama UFC Vegas 49 pada Ahad.
Aksi catchweight itu menyaksikan Islam dengan mudah menundukkan lawannya dari Amerika Syarikat menerusi TKO (technical knockout) pada minit 3:23 pusingan pertama.
Islam membuka langkah dengan tendangan tinggi yang menuju ke kepala Green, disusuli dengan beberapa tendangan kaki kiri.
Green membalas dengan tumbukan ke arah badan Islam, namun tindakannya itu seolah-olah ‘memerangkap’ dirinya sendiri apabila dijatuhkan oleh petarung muda dari Dagestan itu.
Tanpa membuang masa, Islam yang kini berada dalam posisi 'mount', terus menghujani lawannya dengan beberapa siri tumbukan.
Green yang kelihatan gagal mempertahankan dirinya, memaksa pengadil Herb Dean untuk mencelah dan menghentikan perlawanan, sekali gus mengisytiharkan Makhachev sebagai pemenang.
Dengan keputusan terbaharu ini, Islam kini mempunyai rekod profesional MMA dengan 22 kemenangan dan satu kekalahan (22 - 1).
Sementara itu, dalam temu bual selepas pertarungan, Makhachev, 30, berkata dia sudah bersedia untuk pertarungan kejuaraan dan kini dia mahukannya.
“Saya hanya mahukan ‘title fight’… saya sudah penat dengan semua ini. I perlukan ‘title fight’. Saya sudah bersedia, saya di sini. Beritahu saja bila dan di mana, itu saja,” katanya.
Kali terakhir dia bertarung ialah dengan Dan Hooker dari New Zealand, di mana dia telah menumpaskan lawannya itu dalam hanya 2 minit, 25 saat pusingan pertama.
Makhachev juga merupakan bekas juara dunia gusti sambo dan rakan sepasukan bekas juara lightweight UFC, Khabib Nurmagomedov.
Dia juga dilatih oleh Khabib yang turut menjadi ‘cornerman’ untuk pertarungan ini.