UFC: 'Bullet' Valentina kekalkan kejuaraan flyweight selepas menang TKO

Haider Yutim
Februari 9, 2020 13:51 MYT
Keputusan itu melebarkan rekod profesional Shevchenko kepada 19-3. - Foto Instagram/@UFC
JUARA flyweight wanita UFC Valentina Shevchenko berjaya mempertahankan gelaran dunianya selepas menewaskan Katlyn Chookagian dalam acara UFC 247 di Houston, Texas, sebentar tadi.
Shevchenko, 31, dari Kyrgyzstan menundukkan petarung tuan rumah menerusi ‘techinal knockout’ (TKO) pada minit 1:03 pusingan ketiga.
Pusingan pertama menyaksikan kedua-dua petarung dalam keadaan berjaga-jaga, sekali-sekala melepaskan tumbukan antara satu sama lain.
Pada pusingan kedua, Shevchenko menjatuhkan Chookagian, sekali gus membawa pertarungan ke lantai Octagon.
Bagaimanapun Chookagian berjaya menyekat kemaraan Shevchenko meskipun lawannya itu sempat melepaskan serangan siku ke dahinya, menyebabkan pendarahan di bahagian tersebut.
Pada pusingan ketiga, Schevchenko sekali lagi menjatuhkan Chookagian, namun kali ini dia gagal mempertahankan dirinya apabila dihujani tumbukan dari Shevchenko.
Keadaan itu memaksa pengadil menghentikan perlawanan dan mengisytiharkan Schevchenko sebagai pemenang.
Keputusan itu melebarkan rekod profesional Shevchenko kepada 19-3.
Kali terakhir Shevchenko mempertahankan kejuaraannya ialah pada Ogos tahun lalu, apabila menewaskan Liz Carmouche dalam acara UFC Fight Night 156 di Montevideo, Uruguay.
#Bullet Valentina #flyweight world championship #Houston #Katlyn Chookagian #kejuaraan dunia #Texas #UFC #UFC 247 #Valentina Shevchenko
;