UFC: Belal tarik diri lawan Shavkat

Sinar Harian
November 3, 2024 09:30 MYT
Belal (kiri) sepatutnya bertarung dengan Shavkat di UFC 310 pada 8 Disember ini. - Foto Agensi/Sinar Harian
BUKAN takut atau sengaja mencari alasan, namun jangkitan kuman dalam tulang memaksa penyandang juara kelas welterweight Ultimate Fighting Championship (UFC), Belal Mohammad (24-3) menarik diri daripada pertarungan utama UFC 310.
Belal sepatutnya mempertahankan tali pinggangnya menentang jaguh seni bela diri campuran (MMA) dari Kazakhstan, Shavkat Rakhmonov (14-0) di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS) pada 8 Disember ini.
Petarung berdarah Palestin dari Chicago itu memuat naik status kesihatannya di media sosial dan menyatakan bahawa pemulihannya memerlukan antibiotik secara intravena dan perlu mengelakkan aktiviti fizikal selama enam minggu.
"Perancangan Allah adalah yang terbaik. Saya minta maaf kepada semua yang mahu menyaksikan saya di UFC 310.
"Saya akan kembali tidak lama lagi, Insya-Allah," tulis Belal di platform X sambil memuat naik gambar kecederaan pada jari kaki kirinya.
Sebagai rekod, Belal memenangi tali pinggang welterweight selepas menewaskan Leon Edwards menerusi keputusan sebulat suara tiga hakim di UFC 304 pada Julai lalu.
UFC setakat ini masih belum mengumumkan sama ada Rakhmonov, 30, akan kekal dalam acara tersebut dengan lawan yang berbeza.
"Semoga Belal cepat sembuh. Saya bersedia bertemu apabila anda kembali pada keadaan 100 peratus. Buat masa ini, saya sedia berhadapan dengan mana-mana pencabar untuk gelaran juara interim di UFC 310," kata Shavkat.
Shavkat mendapat peluang pertamanya untuk merebut kejuaraan UFC selepas menewaskan Stephen Thompson pada pusingan kedua di UFC 296 pada Disember 2023. - Sinar Harian
#MMA #UFC #jangkitan kuman #Belal Mohammad tarik diri
;