UFC 307: Pereira tiada tandingan, pertahan gelaran kali ketiga
Astro Arena
Oktober 6, 2024 17:00 MYT
Oktober 6, 2024 17:00 MYT
JUARA dunia kategori Light Heavyweight, Alex Pereira, membuktikan kemampuannya berada dalam kelas tersendiri selepas menewaskan pencabar, Khalil Rountree Jr dalam saingan UFC 307 sebentar tadi.
Pereira kembali ke Octagon buat pertama kali sejak empat bulan lalu ketika menumbangkan Jiri Prohazcka, untuk bertemu Khalil Rountree, yang dilihat sebagai petinju MMA yang berpotensi untuk menamatkan dominasi petinju kelahiran Brazil itu.
Tiga pusingan pertama menyaksikan Pereira kekal tenang, mengorak langkah serta membaca corak serangan Rountree, yang lebih agresif permulaan pusingan.
Memasuki pusingan keempat, Pereira melancarkan serangan demi serangan ke arah kepala Rountree sebelum menumbangkan lawan pada 4 minit dan 32 saat.
Untuk rekod, ini merupakan kejayaan Pereira mempertahankan gelaran buat kali ketiga dalam tempoh tujuh bulan, pertama kali mengatasi Jamahal Hill sebelum Prohazcka dan membuktikan dirinya dalam kelas tersendiri dengan kemenangan ke atas Rountree.