UFC 287: KO pusingan kedua, Adesanya rampas semula takhta middleweight
Haider Yutim
April 9, 2023 13:55 MYT
April 9, 2023 13:55 MYT
SENSASI middleweight UFC Israel Adesanya berjaya merampas semula kejuaraan kelas tersebut selepas menewaskan Alex Pereira dalam acara utama UFC 287 pada Ahad.
Pertarungan yang berlangsung di Miami, Florida itu menyaksikan Adesanya menumpaskan lawannya dari Brazil menerusi ‘knockout’ pada minit 4:21 pusingan kedua.
Pusingan pertama bermula garang bagi Pereira, apabila dia melancarkan beberapa siri tendangan ke arah kaki Adesanya.
Adesanya cuba untuk merapatkan jurang dengan beberapa sepakan ke bahagian kepala dan badan yang turut mengenai sasaran lawannya.
Walau bagaimanapun, Pereira terus menggunakan strategi ‘leg kick’ yang memberikannya kelebihan dalam pusingan tersebut.
Pusingan kedua bermula dengan Adesanya pula melancarkan ‘leg kick’ terhadap Pereira. Namun, serangan itu dibalas dengan beberapa tumbukan serta sepakan padu ke arah Adesanya.
Adesanya cuba menahan serangan Pereira dan menunggu peluang. Beberapa saat kemudian, tanpa diduga, Adesanya menyerang Pereira dengan tumbukan padu yang sekali gus merebahkan lawannya itu.
Ia disusuli dengan pukulan 'hammer fist', sebelum pengadil Dan Miragliotta mencelah dan menamatkan pertarungan.
Miragliotta seterusnya mengisytiharkan Adesanya sebagai pemenang dan juara baharu middleweight UFC.
Sebagai rekod, Adesanya (24-2) telah mempertahankan gelaran middleweight sebanyak lima kali sebelum kalah kepada Pereira pada November tahun lalu.
Ini merupakan kali kedua petarung Nigeria-New Zealand berusia 33 tahun itu bertemu Pereira.
Sementara itu, petarung Amerika Syarikat Jorge Masvidal mengumumkan persaraannya selepas 20 tahun di gelanggang.
Masvidal (35-17) membuat keputusan itu selepas kalah menerusi keputusan sebulat suara (unanimous decision) kepada Gilbert Burns (22-5) dalam acara kedua utama.
Jaguh berusia 38 tahun itu mengakhiri kariernya dengan 12 kemenangan di dalam promosi tersebut.
Antara rekod cemerlang yang diciptanya ialah apabila dia menewaskan bekas juara welterweight Bellator dan ONE Championship, Ben Askren, menerusi 'lutut terbangnya' pada Julai 2019.
Pertarungan yang hanya mengambil masa lima saat itu turut dicatat sebagai rekod 'knockout' terpantas dalam sejarah UFC.
Selain itu, Masvidal juga merupakan pemegang gelaran 'BMF' yang diraih menerusi kemenangan ke atas rakan senegaranya, Nate Diaz, dalam aksi UFC 244 pada November 2019.