UFC 285: Jon Jones kembali lebih garang, raih kejuaraan heavyweight

Haider Yutim
Mac 5, 2023 15:07 MYT
Jon Jones kembali ke gelanggang Octagon, sekali gus meraih kejuaraan heavyweight selepas menumpaskan Ciryl Gane dari Perancis. - Foto AP
SELEPAS lebih tiga tahun tidak beraksi, jaguh MMA Jon 'Bones' Jones kembali ke gelanggang Octagon, sekali gus meraih kejuaraan heavyweight selepas menumpaskan Ciryl Gane dari Perancis dalam acara utama UFC 285 pada Ahad.
Pertarungan yang berlangsung di Las Vegas itu menyaksikan Jones, dari Amerika Syarikat, hanya memerlukan kira-kira dua minit untuk menewaskan lawannya menerusi kuncian 'guillotine' pada pusingan pertama.
"Saya telah bekerja keras untuk (pertarungan) ini untuk masa yang lama. Ramai menyangka saya tidak akan kembali.
"(Namun) Saya setia pada matlamat saya... saya setia dengan misi. Ada hari saya tidak mahu berlatih tapi saya sentiasa ada," katanya ketika ditemu bual selepas pertarungan.
Dalam temu bual yang sama, petarung berusia 35 tahun itu turut menyatakan hasrat untuk berdepan rakan senegaranya, Stipe Miocic, yang juga merupakan bekas juara heavyweight UFC.
Dengan kemenangan tersebut, Jones yang hanya pernah tewas sekali sepanjang kariernya, kini melebarkan rekodnya kepada 27-1.
Jones secara rasminya telah melepaskan kejuaraan light heavyweight miliknya pada Ogos 2020 lalu, dan naik ke kelas heavyweight.
Dia yang sering digelar petarung 'greatest of all time' (terhebat sepanjang zaman), telah mencipta rekod sebagai petarung paling muda meraih kejuaraan UFC, iaitu pada umur 23 tahun.
Jones pada ketika itu menewaskan Maurício Rua yang juga juara bertahan light heavyweight pada tahun 2011.
Rekodnya tercalar apabila Jones pernah dilucutkan dari gelaran juara oleh UFC sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 2015, 2016 dan 2017.
Ia berikutan daripada masalah undang-undang yang dihadapainya di luar gelanggang dan juga didapati positif dalam penggunaan bahan terlarang.
#Jon Jones #Jonny Bones #UFC 285 #MMA
;