UFC 285: Alexa Grasso cipta kejutan, rampas kejuaraan dari Shevchenko
Haider Yutim
Mac 5, 2023 15:56 MYT
Mac 5, 2023 15:56 MYT
ALEXA Grasso mencipta sejarah apabila menjadi petarung seni bela diri (MMA) wanita pertama dari Mexico untuk meraih gelaran kejuaraan UFC.
Petarung berusia 29 tahun itu mengejutkan peminat sukan tempur selepas menundukkan juara bertahan flyweight, Valentina Shevchenko, menerusi submission pada minit 4:34 pusingan keempat.
"Tolong tumbuk saya, saya rasa (seperti) sedang bermimpi. Saya telah impikan saat ini sejak sekian lama," kata Grasso ketika ditemu bual di gelanggang Octagon.
Grasso membuat penampilan pertamanya dalam divisyen flyweight pada Ogos 2020, selepas bertarung selama bertahun-tahun di kelas strawweight.
Kemenangan tersebut melebarkan rekod profesionalnya kepada 16-3.
Bagi Shevchenko pula, keputusan terbaharu ini mencalarkan rekodnya mempertahankan kejuaraan sebanyak tujuh kali, termasuk kemenangan sembilan kali berturut-turut yang dipegangnya sejak 2017.
Petarung dari Kyrgyzstan itu turut mahukan supaya pertarungan semula dengan Grasso diadakan segera.
"Inilah yang berlaku dalam seni mempertahankan diri campuran. Anda memenangi pertarungan selama ini, namun satu situasi (kesilapan) boleh mengubah semuanya.
"Ini adalah sebahagian daripada permainan. Tahniah kepada Alexa," kata Shevchenko.