UFC 274: Oliveira tundukkan Gaethje, gelaran lightweight kini untuk rebutan
Haider Yutim
Mei 8, 2022 13:57 MYT
Mei 8, 2022 13:57 MYT
MESKIPUN dilucutkan kejuaraan, itu tidak melemahkan semangat Charles Oliveira untuk bangkit menumpaskan Justin Gaethje dalam acara utama UFC 274 sebentar tadi.
Petarung Brazil itu mempamerkan aksi cemerlang dengan menundukkan lawannya dari Amerika Syarikat menerusi kuncian ‘rear naked choke’ pada minit 3:22 pusingan pertama.
Pertarungan bermula dengan Oliveira menerpa ke arah Gaethje, disusuli tumbukan padu yang hampir merebahkan pencabarnya itu.
Bagaimanapun, serangan balas dari Gaethje beberapa saat selepas itu berjaya menjatuhkan Oliveira untuk seketika.
Kedua-dua petarung kemudiannya berbalas tumbukan diselang-selikan dengan tendangan ke bahagian kaki.
Oliveira kemudiannya mendapat peluang menjatuhkan Gaethje dan membuat percubaan kuncian terhadap lawannya itu, namun Gaethje berjaya melepaskan diri.
Oliveira mengubah posisi dan sekali lagi membuat percubaan kuncian, dan kali ini Gaethje gagal melepaskan diri sekali gus memaksa dirinya menyerah kalah.
Pengadil Marc Goddard seterusnya menghentikan pertarungan dan mengisytiharkan Oliveira sebagai pemenang.
Dengan kemenangan tersebut, bekas juara lightweight itu kini memegang rekod sebanyak 33 kemenangan dan lapan kekalahan (33 - 8).
Dia turut menjadi kontender nombor satu bagi pertarungan merebut kejuaraan lightweight.
Oliveira pada Sabtu dilucutkan gelaran lightweight miliknya selepas gagal mencapai berat, sehari sebelum saingan kejuaraan menentang Gaethje.
Dia mencatat berat 70.2268kg (155.5 lbs) -- melebihi had berat badan yang ditetapkan untuk kelas lightweight iaitu 70kg (155 lbs).
Dia juga gagal menurunkan berat meskipun diberikan tempoh satu jam untuk melakukannya, dan dilaporkan tiba di acara ‘weigh-in’ pada saat akhir iaitu 5 minit sebelum acara tersebut tamat.
Bagaimanapun, pertarungan 'Oliveira vs Gaethje' tetap diteruskan dan gelaran lightweight hanya akan dinobatkan sekiranya Gaethje menang.
Oliveira, 32, meraih kejuaraan lightweight pada Mei tahun lalu selepas menewaskan Michael Chandler dari Amerika Syarikat dalam aksi UFC 262.
Pertarungan acara utama yang berlangsung di Houston, Texas itu menyaksikan Oliveira menumpaskan Chandler menerusi TKO (technical knockout) pada minit 0:19 pusingan kedua.
Oliveira seterusnya mempertahankan kejuaraan tersebut untuk kali pertama pada Disember lepas menerusi kemenangan ke atas bekas juara interim lightweight, Dustin Poirier.
Gelaran lightweight UFC itu berpindah milik selepas hampir tiga tahun dipegang oleh legenda MMA, Khabib Nurmagomedov.
Sementara itu, dalam pertarungan acara kedua utama, petarung Amerika Syarikat Rose Namajunas gagal mempertahankan kejuaraannya selepas tewas kepada rakan senegara, Carla Esparza.
Pertarungan strawweight wanita itu menyaksikan Esparza mengalahkan Namajunas menerusi keputusan berbelah bahagi (split decision) selepas lima pusingan.
Satu lagi acara menarik yang telah berlangsung ialah pertarungan di antara Tony Ferguson dan Michael Chandler.
Dalam pertarungan tersebut, peminat sukan tempur telah dikejutkan dengan tendangan ‘KO’ ke bahagian muka oleh Chandler yang sekali gus merebahkan Ferguson di pusingan kedua.
#UFC
#Charles Oliveira
#Justin Gaethje
#UFC 274
#lightweight
#Rose Namajunas
#Carla Esparza
#Michael Chandler
#Tony Ferguson