UFC 272: Umar Nurmagomedov kekalkan rekod tanpa kalah 14 - 0
Haider Yutim
Mac 6, 2022 10:40 MYT
Mac 6, 2022 10:40 MYT
UMAR Nurmagomedov mengekalkan rekod tanpa kalahnya selepas menewaskan Brian Kelleher dari Amerika Syarikat dalam aksi featherweight di UFC 272, sebentar tadi.
Sepupu kepada bintang MMA, Khabib Nurmagomedov itu menundukkan lawannya menerusi kuncian ‘rear naked choke’ pada minit 3:15 pusingan pertama.
Meskipun kali ini tidak bertarung dalam kelas bantamweight, namun itu tidak memberi sebarang masalah kepada Umar.
Serangan pantasnya membuatkan Kelleher gagal mencari ruang untuk bertindak balas.
Dengan peluang yang terbuka itu, Umar terus menerpa untuk membuat kuncian di bahagian leher Kelleher, sekali gus memaksa lawannya itu menyerah kalah.
Kemenangan itu melebarkan rekod profesionalnya kepada 14 - 0.
Ini merupakan penampilan kedua Umar di UFC, di mana penampilan pertamanya ialah pada Januari tahun lalu yang berakhir dengan kemenangan ke atas Sergey Morozov dari Kazakhstan.
Berusia 26 tahun, petarung kelahiran Dagestan, Rusia itu sebelum ini pernah beraksi dalam beberapa promosi MMA termasuk Professional Fighters League (PFL) dan Gorilla Fighting Championship (GFC).
Seperti Khabib, Umar mempunyai rekod profesional MMA tanpa kalah dalam kesemua pertarungan yang disertainya setakat ini.
Umar juga menjalani latihannya di Eagles MMA, Rusia dan di American Kickboxing Academy di San Jose, California, Amerika Syarikat.