UFC 269: Julianna Pena cipta kejutan, rampas kejuaraan dari Amanda Nunes
Haider Yutim
Disember 12, 2021 13:45 MYT
Disember 12, 2021 13:45 MYT
PETARUNG Amerika Syarikat, Julianna Pena berjaya mencipta kejutan apabila mengalahkan Amanda Nunes dari Brazil dalam aksi UFC 269, sebentar tadi.
Kemenangan itu sekali gus menyaksikan Pena merampas kejuaraan dunia bantamweight wanita dari Nunes, selepas gelaran itu dipertahankan oleh Nunes sebanyak lima kali.
Pena yang merupakan ‘underdog’ dalam pertarungan ini, menumpaskan lawannya itu menerusi kuncian ‘rear naked choke’ pada minit 3:26 pusingan kedua.
Pertarungan ini juga disifatkan sebagai antara ‘upset’ terbesar dalam dalam sejarah UFC.
Dengan keputusan tersebut, Pena kini memegang rekod profesional MMA sebanyak 12 kemenangan, dan empat kekalahan (12 - 4).
Manakala bagi Nunes pula, rekodnya kini sedikit tercalar dengan 21 kemenangan dan lima kekalahan (21 - 5).
Selain bantamweight, Nunes turut memegang kejuaraan dunia UFC untuk divisyen featherweight wanita dan merupakan petarung wanita pertama yang memegang takhta kejuaraan dari dua division.
Sementara itu, dalam acara utama, juara lightweight UFC Charles Oliveira berjaya mengekalkan kejuaraannya selepas menewaskan Dustin Poirier dari Amerika Syarikat menerusi kuncian ‘rear naked choke’ pada minit 1:02 pusingan ketiga.
Ini merupakan kali pertama Oliveira mempertahankan kejuaraan tersebut.
Petarung dari Brazil itu meraih kejuaraan lightweight pada Mei lalu selepas menewaskan Michael Chandler dari Amerika Syarikat dalam aksi UFC 262.
Takhta itu akhirnya berpindah milik selepas hampir tiga tahun dipegang oleh bintang MMA, Khabib Nurmagomedov.