UFC 267: Derita akibat 'long COVID', bersediakah Khamzat Chimaev untuk beraksi?
Hilmi Ismail
Oktober 29, 2021 18:25 MYT
Oktober 29, 2021 18:25 MYT
NAMA petarung UFC Khamzat Chimaev melonjak naik dalam dunia seni bela diri campuran (MMA) bermula pada July 2020.
Baru berusia 27 tahun, Khamzat lahir di Chechnya namun berhijrah ke Sweden ketika berumur 19 tahun.
Menjadi petarung MMA profesional sejak tahun 2018, dia kini memegang rekod MMA tanpa kalah dengan sembilan kemenangan.
Khamzat mula menjadi topik perbualan di kalangan peminat MMA apabila bertarung dalam dua pertarungan kelas berat yang berbeza dalam tempoh sepuluh hari.
Pertarungan pertama Khamzat dalam UFC adalah pada 16 July 2020 ketika menentang John Philips dalam kelas middleweight. Dia berjaya mencatat kemenangan menerusi kuncian 'd'arce choke' pada pusingan kedua.
Pada 26 July Khamzat sekali lagi muncul di gelanggang Octagon untuk mencabar Rhys McKee dalam kelas welterweight pula. Khamzat sekali lagi menang mudah menerusi tumbukan TKO pada pusingan pertama.
Bertarung dalam dua perlawanan berbeza dalam masa yang singkat adalah perkara yang jarang berlaku, lebih-lebih lagi dalam sukan tempur seperti MMA.
Itulah yang dilalui Khamzat sekali gus melonjakkan namanya sebagai bintang baru UFC yang ditunggu-tunggu.
Pada bulan September 2020, Khamzat sekali lagi membuat kemunculan di Octagon. Dalam pertarungan kali ini, tumbukan pertama hanyunannya berjaya hinggap tepat di sisi kepala Gerald Meerschaert, mengakibatkan lawannya terus rebah.
Sekali lagi Khamzat diangkat sebagai pemenang menerusi tumbukan TKO pada pusingan pertama.
Dengan tiga kemenangan mudah berturut-turut, UFC terus mengorak percaturannya dengan meletakkan petarung yang lebih berpengalaman yang menduduki ranking lebih tinggi untuk mencabar Khamzat.
Petarung asal England, Leon Edwards menjadi pilihan UFC. Namun perjalanan karier Khamzat dilihat tidak selancar seperti sebelum ini.
Pertarungan antara Khamzat dan Edwards terpaksa dibatalkan sebanyak tiga kali. Kali pertama ia dibatalkan akibat daripada Edwards disahkan positif COVID-19.
UFC membatalkan pertarungan mereka buat kali kedua selepas Khamzat pula disahkan positif COVID-19.
UFC kelihatan menemui jalan buntu selepas gagal mengaturkan pertarungan mereka untuk kali ketiga. Ia berikutan tahap kesihatan Khamzat yang dilaporkan masih bergelut dengan simptom 'long COVID'.
Kecewa dengan tahap kesihatan hingga tidak mampu meneruskan latihannya, Khamzat pernah membuat kejutan dengan mengumumkan persaraannya dari arena MMA.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih pada semua yang telah menyokong perjalanan saya dalam sukan ini. Saya rasa saya sudah selesai. Saya tahu saya tidak berjaya mendapat tali pinggang (kejuaraan) kerana ia bukanlah kemenangan yang paling penting dalam hidup", tulis Khamzat di laman Instagram miliknya pada Mac 2021.
Berita mengejut ini tidak diterima baik ramai figura penting MMA seperti Presiden UFC, Dana White dan pemimpin Chechnya, Ramzan Kadyrov.
Rata-rata mereka menyatakan sokongan buat Khamzat agar terus cekal menghadapi waktu sukar dan sedia membantu agar petarung itu boleh pulih sepenuhnya dan kembali beraksi di gelanggang Octagon.
Khamzat kemudian memadam hantaran media sosial tersebut dan menggantikannya dengan gambar selepas sesi latihan dengan kapsyen, "Apa sahaja yang tidak membunuh anda, menjadikan anda lebih kuat".
Selepas 13 bulan sejak pertarungan terakhirnya, Khamzat bakal membuat kemunculan semula di gelanggang Octagon pada acara UFC 267 nanti.
Cabaran terbaru buat Khamzat datang dari Li Jingliang, seorang petarung asal China yang memegang rekod MMA 18-6. Jingliang juga merupakan petarung yang menduduki tangga ke sebelas dalam ranking kelas welterweight.
Mampukah Khamzat kembali ke bertarung pada tahap tertinggi seperti sebelum ini? Adakah sejarah long COVID bakal memberi kesan pada ketangkasannya ketika beraksi di Octagon?
Segala persoalan ini bakal terjawab pada 30 October ini dalam acara UFC 267 yang akan bersiaran lamgsung di Astro SuperSport 5 (saluran 815) bermula 11:30 malam bagi acara awal atau 'premilinary card'.
Bagi pertarungan di 'main card', ianya akan berlangsung pada 31 October bermula 2:00 pagi di saluran yang sama.