UFC 259: Blachowicz pertahan kejuaraan, Adesanya gagal percubaan jadi 'champ champ'

Haider Yutim
Mac 7, 2021 16:13 MYT
Israel Adesanya (kiri) gagal dalam percubaannya untuk menjadi juara dua divisyen selepas tewas di tangan Jan Blachowicz, dalam aksi UFC 259. - Foto Instagram/@UFC
JUARA middleweight UFC Israel Adesanya gagal dalam percubaannya untuk menjadi juara dua divisyen selepas tewas di tangan Jan Blachowicz, dalam aksi UFC 259 pada Ahad.
Pertarungan yang berlangsung di Las Vegas, Amerika Syarikat itu menyaksikan Adesanya dikalahkan oleh Blachowicz selaku penyandang gelaran light heavyweight menerusi keputusan sebulat suara selepas lima pusingan.
Keputusan itu sekali gus mencalarkan rekod tanpa kalah Adesanya yang kini sudah menjadi 20-1 (20 kemenangan, satu kekalahan).
“Ia tidak menjadi seperti yang saya mahukan, tetapi (kita perlu) berani (untuk) menjadi hebat.
"Pengkritik adalah mereka yang di luar gelanggang, tetapi saya yang meletakkan (risiko) di depan,” katanya ketika ditemu bual selepas perlawanan.
Adesanya, 31, memilih untuk mencabar dirinya dengan naik ke divisyen light heavyweight.
Bagaimanapun, selepas kekalahan ini, dia berhasrat untuk kembali ke divisyen asalnya iaitu middleweight untuk mempertahankan kejuaraannya.
BACA: UFC 253: Adesanya tundukkan Costa, kekalkan kejuaraan middleweight
BACA: Empat juara dunia dalam tiga kelas berat berbeza, UFC 259 acara paling gah setakat ini
Namun, dia juga tekad untuk naik semula ke light heavyweight suatu hari nanti.
Sementara itu, bagi Błachowicz, 38, yang berasal dari Poland, ini merupakan pertarungan pertamanya sebagai penyandang kejuaraan setelah berjaya bergelar juara light heavyweight pada September 2020.
Kemenangan ini melebarkan rekod profesionalnya kepada 28 kemenangan, dan lapan kekalahan (28-8).
#UFC #Israel Adesanya #UFC 259 #Jan Blachowicz #light heavyweight #middleweight #champ champ #MMA #Mixed Martial Arts
;