UFC 245: Max Holloway gagal pertahankan kejuaraan featherweight

Haider Yutim
Disember 15, 2019 21:42 MYT
Holloway tumpas kepada Volkanovski dari Australia menerusi keputusan sebulan suara selepas bertarung selama lima pusingan. - Foto AP
PETARUNG 'favourite' divisyen featherweight, Max 'Blessed' Holloway gagal mempertahankan kejuaraannya selepas tewas kepada Alexander Volkanovski dalam aksi UFC 245 di T-Mobile Arena, Las Vegas, pada Ahad.
Bekas juara featherweight UFC dari Hawaii itu tumpas kepada Volkanovski dari Australia menerusi keputusan sebulat suara selepas bertarung selama lima pusingan.
Dalam pertarungan tersebut, Volkanovski dilihat mendominasi perlawanan sepanjang pusingan pertama hingga ketiga.
Dia berjaya mengawal kemaraan Holloway menerusi tendangan kakinya.
Bagaimanapun, pada pusingan keempat, Holloway sudah mula membaca pergerakan Volkanovski dengan melancarkan beberapa tumbukan padu diselang-selikan dengan tendangan yang berbisa.
Momentum itu diteruskan hingga pusingan kelima. Namun, mata yang diperolehi nampaknya tidak mencukupi untuk Holloway apabila para juri menghadiahkan kemenangan kepada Volkanovski.
Dengan keputusan itu, Holloway, 28, kehilangan kejuaraan dunia yang disandangnya selepas berjaya mempertahankan kejuaraannya sebanyak tiga kali menentang Jose Aldo, Brian Ortega dan Frankie Edgar.
#Alexander Volkanovski #kejuaraan dunia featherweight #Max Holloway #Mixed Martial Arts #MMA #T-Mobile Arena #UFC #UFC 245
;