UFC 241: Miocic rampas semula kejuaraan heavyweight dari Cormier

Haider Yutim
Ogos 18, 2019 14:20 MYT
Miocic diisytihar pemenang menerusi teknikal knockout (TKO) pada minit 4:09 pusingan keempat. - Sumber foto: Instagram/@officialmiguelcastillo
PETARUNG MMA Amerika Syarikat, Stipe Miocic berjaya merampas semula takhta kejuaraan dunia heavyweight UFC selepas menewaskan rakan senegara, Daniel Cormier.
Dalam aksi UFC 241 yang berlangsung di Anaheim, California pada Ahad, petarung berusia 36 tahun itu dilihat berhempas pulas mencari kemenangan selepas gagal mempertahankan kejuaraan tersebut semasa pertemuannya dengan Cormier pada Julai tahun lalu.
Kedua-dua petarung saling bertukar tendangan pada awal pusingan pertama, diikuti dengan Cormier melancarkan beberapa tumbukan ke arah Miocic.
Cormier kemudiannya menjatuhkan Miocic dan mengangkat lawannya itu ke atas sebelum menghempasnya ke kanvas Octagon.
Sehingga ke pusingan ketiga, kedua-dua dilihat saling berbalas serangan di mana setiap tumbukan oleh Miocic dibalas padu oleh Cormier.
Pada pusingan keempat, Cormier yang kelihatan sudah penat, diasak oleh Miocic menerusi tumbukan deras ke bahagian badan.
Cormier yang telah dihimpit ke tepi gelanggang, cuba membalas menerusi tumbukan kanan, namun dia terus diasak sehingga pengadil Herb Dean mencelah dan menghentikan perlawanan.
Miocic (19-3) seterusnya diisytihar pemenang menerusi teknikal knockout (TKO) pada minit 4:09 pusingan keempat.
Ini merupakan pertemuan keduanya dengan Cormier.
Kali pertama dia menjulang kejuaraan dunia heavyweight UFC ialah pada Mei 2016 selepas mengalahkan Fabricio Werdum menerusi keputusan knockout (KO) dan berjaya mempertahankan kejuaraan tersebut sebanyak tiga kali.
#Daniel Cormier #kejuaraan dunia heavyweight UFC #MMA #Mmixed martial arts #seni bela diri campuran #Stipe Miocic #UFC #UFC 241 #UFC Anaheim #UFC heavyweight champion
;