UEL: Tiga tonggak utama Liverpool kembali perkuat pasukan
Astro Arena
April 11, 2024 10:30 MYT
April 11, 2024 10:30 MYT
PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp, tidak menolak kemungkinan Diogo Jota, Trent Alexander-Arnold dan Alisson Becker kembali dalam perlawanan suku akhir Liga Eropah (UEL) menentang Atalanta, awal pagi ini.
Ketiga-tiga mereka sebelum ini terpaksa diketepikan akibat kecederaan sejak bulan Februari tetapi telah kembali menjalani latihan dan dilihat bersedia menyumbangkan khidmatnya dalam usaha Liverpool untuk memburu trofi sebelum saingan musim ini berakhir.
"Jelas sekali kami tidak tergesa-gesa untuk menggunakan pemain itu. Mereka banyak melakukan latihan secara sendiri.
"Jota dan Trent berlatih dalam satu pasukan sejak tiga minggu terakhir ini dan boleh berlatih dengan baik semalam.
"Mereka ini akan kembali dalam latihan dan sekarang kita perlu melihat bagaimana kita boleh melibatkan mereka kembali dan menggunakan khidmatnya.
"Sememangnya kami memerlukan mereka, tetapi dalam keadaan yang terbaik dan bersedia sepenuhnya dengan rima yang betul.
"Ia sentiasa menjadi cabaran untuk menyatukan semula pemain dengan kualiti yang mereka ada. Kami akan menggunakan mereka dalam beberapa hari dan minggu seterusnya.
"Apa maknanya untuk esok, saya masih belum membuat sebarang keputusan lagi." katanya. - Stadium Astro