UEFA umum venue final tiga edisi Liga Juara-Juara

Astro Arena
September 25, 2019 12:43 MYT
UEFA turut mengumumkan final Liga Europa 2021 akan diadakan di Stadium Ramon Sanchez Pizjuan, Sepanyol yang menjadi laman sendiri buat Sevilla.
KESATUAN Bolasepak Eropah (UEFA) telah mengumumkan laman Saint Petersburg, Gazprom Arena, Allianz Arena di Munich dan Wembley di London sebagai venue untuk final Liga Juara-Juara Eropah untuk tahun 2021 sehingga 2023.
Pihak UEFA melakukan pengumuman itu selepas mesyuarat yang diadakan di ibu negara Slovenia, Ljubljana, hari ini.
Saingan kemuncak 2021 akan diadakan di stadium berkapasiti 68,000 penonton, Gazprom Arena, sekali gus membolehkan Russia mengelolakan final kedua selepas saingan 2008 melibatkan Manchester United dan Chelsea di Stadium Luzhniki, Moscow.
Jerman akan menjadi destinasi final edisi 2022 di Allianz Arena yang mampu menampung 75,000 penonton tatkala saingan 2012 menyaksikan Bayern Munich terlepas peluang untuk mencipta sejarah di laman sendiri apabila tewas di tangan Chelsea.
Edisi 2023 menyaksikan trofi Liga Juara-Juara akan dijulang di Wembley, kali kelapan ia digunakan sebagai venue pentas Eropah.
Sebelum ini, stadium bersejarah itu menjadi venue bagi edisi 1963, 1968, 1971, 1978 dan 1992 sebelum stadium kebangsaan England itu dibina semula untuk saingan 2011 dan 2013.
UEFA turut mengumumkan final Liga Europa 2021 akan diadakan di Stadium Ramon Sanchez Pizjuan, Sepanyol yang menjadi laman sendiri buat Sevilla.
#Bayern Munich #Chelsea #England #final #Jerman #Kesatuan Bolasepak Eropah #Liga Juara-Juara #London #Manchester United #Moscow #Russia #UEFA
;