UEFA bakal laksana gaji siling

Sinar Harian
April 26, 2023 12:40 MYT
Ceferin berkata, dalam jangka panjang gaji siling adalah penyelesaian untuk memastikan gaji sentiasa terkawal dan semua kelab sudah bersetuju. - Foto AP
PRESIDEN Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), Aleksander Ceferin mahu memperkenalkan gaji siling dalam saingan bola sepak Eropah secepat mungkin.
Ceferin berkata, keputusan memperkenalkan gaji siling itu adalah penyelesaian untuk melindungi keseimbangan persaingan dalam liga dan isu itu sudah pun dibincangkan dengan kelab.
UEFA memperkenalkan peraturan kos baharu mulai musim panas ini menjelang 2025 yang bermakna perbelanjaan kelab untuk yuran perpindahan dan gaji mestilah tidak melebihi 70 peratus daripada pendapatan mereka.
Bagaimanapun, Ceferin berkata, dalam jangka panjang gaji siling adalah penyelesaian untuk memastikan gaji sentiasa terkawal dan semua kelab sudah bersetuju.
"Pada masa hadapan, kita perlu memikirkan secara serius tentang had gaji. Jika belanjawan melambung tinggi maka keseimbangan daya saing kami menjadi masalah.
"Ia bukan mengenai pemilik, ia mengenai nilai pertandingan kerana jika lima kelab akan sentiasa menang maka ia tidak masuk akal lagi.
"Saya sudah bercakap dengan beberapa orang dari Suruhanjaya Eropah. Ia mestilah perjanjian kolektif – setiap liga dan UEFA. Kerana jika kita melakukannya dan liga lain tidak melakukannya, maka ia tidak masuk akal.
"Setakat ini semua orang bersetuju – kelab besar, kelab kecil, kelab milik kerajaan, kelab milik jutawan, semua orang bersetuju.
"Saya harap ia dapat dibuat secepat mungkin. Kami baharu sahaja mula membincangkannya, saya fikir itulah penyelesaiannya," katanya. - Sinar Harian
#UEFA #gaji siling #Aleksander Ceferin #bola sepak
;