UCL: Tottenham tidak sepatutnya kalah kepada Sporting, kata Conte
Astro Arena
September 14, 2022 09:01 MYT
September 14, 2022 09:01 MYT
SPORTING CP 2 TOTTENHAM HOTSPUR 0
Antonio Conte berasakan Tottenham tidak sepatutnya tewas kepada Sporting CP awal pagi tadi tetapi percaya kekalahan itu merupakan peringatan buat pemainnya bahawa mereka tidak boleh melakukan banyak kesilapan dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL).
Dalam aksi Kumpulan D di Estadio Jose Alvalade, Lisbon itu, Tottenham beraksi di bawah tahap sebenar dan kelihatan akan berpuas hati dengan pungutan satu mata menjelang 90 minit aksi.
Bagaimanapun, Gol tandukan Paulinho susulan satu sepakan penjuru pada minit ke-90 dan jaringan secara individu Arthur Gomes pada penghujung perlawanan memberikan kemenangan buat Sporting dan meletakkan mereka di tangga teratas kumpulan itu dengan enam mata.
Berdasarkan persembahan itu, banyak yang perlu diperbaiki Spurs menjelang dua perlawanan menentang Enitracht Frankfurt selepas ini tetapi Conte berasakan perlawanan itu tidak menggambarkan prestasi sebenar pasukannya.
"Saya fikir perlawanan dalam babak pertama agak seimbang di antara kedua-dua pasukan," katanya dalam sidang media.
"Sejujurnya, dalam babak kedua, kami berasa seperti berpeluang untuk meraih tiga mata dan memenangi perlawanan ini. Kami memiliki peluang untuk menjaringkan gol tetapi pada akhirnya, kita sedang bercakap tentang kekalahan kami.
"Sudah pasti kami boleh melakukan yang lebih baik pada minit-minit terakhir. Kami membenarkan lawan melakukan serangan balas dan berdepan situasi satu lawan satu sehingga Hugo (Lloris) perlu melakukan aksi menyelamat yang amat baik, mungkin aksi paling sukar dilakukannya sepanjang perlawanan ini.
"Selepas itu, kami dibolosi daripada satu sepakan sudut. Saya selalu katakan kepada pemain saya bahawa setiap perincian akan menentukan keputusan akhir.
"Saya fikir disebabkan itu, mungkin kami tidak layak untuk menang tetapi kami juga tidak sepatutnya kalah perlawanan malam ini.
"Kami akan cuba mengkaji perlawanan ini untuk pemain mengetahui kekuatan dan kelemahan kami agar ia dapat diperbaiki pada masa akan datang.
"Sudah pasti ini adalah saingan di tahap tertinggi, saingan UCL. Berdepan Marseille adalah perlawanan sukar dan malam ini merupakan satu lagi perlawanan sukar.
"Kami perlu menyedari bahawa sekiranya kami mengimpikan untuk layak ke pusingan seterusnya, kami perlu berjuang, kami perlu berjuang dengan sehabisnya, terutama dalam kumpulan ini.
"Kerana saya dapat lihat kumpulan ini amat seimbang.
"Tahap dalam UCL amat tinggi. Anda sedar anda perlu mengurangkan kesilapan kerana pada penghujungnya, anda boleh dihukum. Hari ini kami membayarnya dengan harga yang mahal," katanya.