UCL: Persembahan Liverpool memalukan - Carragher

Astro Arena
Februari 22, 2023 10:30 MYT
Salah (dua, kanan) meraikan bersama rakan selepas menjaringkan gol kedua pasukannya ketika pertembungan pertama pusingan 16 UCL antara Liverpool dan Real Madrid di stadium Anfield, Liverpool, England, 21 Feb 2023. (AP)
LIVERPOOL 2 REAL MADRID 5
Jamie Carragher menyifatkan kempen Liverpool dalam Liga Juara-Juara (UCL) musim ini sebagai memalukan selepas membiarkan Real Madrid merobek gawang The Reds dengan sewenang-wenangnya.
Darwin Nunez dan Mohamed Salah memanfaatkan kesilapan awal Thibaut Courtois untuk memacu pendahuluan 2-0 dalam tempoh 15 minit pertembungan pertama pusingan 16 di Anfield, awal pagi tadi.
Begitupun, juara bertahan Eropah yang dibimbing Carlo Ancelotti itu bangkit dengan bergaya menerusi dua jaringan sejurus rehat menerusi Vinior sebelum tandukan Eder Militao meletakkan Madrid di depan.
Dua penyudah Karim Benzema memastikan bekalan 5-2 untuk dibawa pulang ke Santiago Bernabeu menjelang aksi timbal balik di pertengahan bulan depan.
Ia secara tidak langsung menyaksikan The Reds muncul pasukan pertama dalam sejarah UCL yang melepaskan kelebihan 2-0 dan tumbang dengan jurang tiga gol.
Buat julung kalinya juga Liverpool dibolosi lima gol di laman sendiri, lantas Carragher sukar mempercayai persembahan bekas kelabnya itu.
Bekas ketua pasukan kelab Merseyside itu berkata di CBS Sports: "Pertama sekali, ia satu persembahan hebat daripada Real Madrid untuk bertandang ke Anfield dan beraksi sedemikian.
"Saya tidak pernah melihat sebuah pasukan berkunjung ke Anfield pada malam Eropah dan memusnahkan Liverpool seperti ini.
"Ia amat memalukan buat Liverpool, kami sering berselindung di sebalik alasan demi mereka sepanjang musim ini.
"Kami pernah menggariskan punca mengapa mereka gagal mengulangi prestasi musim-musim terdahulu tetapi persembahan babak kedua itu satu penghinaan."
#Liverpool
;