UCL: Lukaku terlalu dikerah - Tuchel
Astro Arena
Oktober 20, 2021 09:43 MYT
Oktober 20, 2021 09:43 MYT
PENGURUS Chelsea, Thomas Tuchel, berasakan bahawa Romelu Lukaku sedang menderita akibat terlalu banyak beraksi.
Pemain tengah itu memulakan setiap lima perlawanan Belgium dalam Euro 2020 dan sejak itu muncul dalam dua perlawanan kelayakan Piala Dunia dan separuh akhir Liga Negara-Negara (UNL) untuk negaranya.
Selain itu, khidmat Lukaku merupakan pemain Inter keempat terbanyak digunakan musim lalu, iaitu terbabit dalam 3,564 minit permainan ketika Nerazzurri menjuarai Serie A selain sudah bermain dalam 810 minit untuk The Blues musim ini.
Pemain berusia 28 tahun itu menjaringkan empat gol dalam empat penampilan pertamanya bersama Chelsea tetapi gagal menemui penyudah dalam enam perlawanan berikutnya.
"Pada masa ini, menurut saya, saya berasa Romelu telah terlalu banyak beraksi," kata Tuchel menjelang perlawanan Liga Juara-Juara dengan Malmo, awal pagi esok.
"Saya rasa dia telah terbabit dalam banyak perlawanan sepanjang musim panas lalu, terlalu kerap dengan pasukan kebangsaan dan sekarang dia beraksi dalam UNL.
"Dia adalah atlet yang hebat dan seorang yang kompetitif, dia menggali lebih dalam dan dia mahu menang, dia mahu berada di luar sana dan menang jadi saya tahu betapa dia mahukan keputusan yang baik dalam Euro bersama Belgium dan UNL.
"Ia sangat bermakna baginya untuk mewakili negaranya hingga dia menganggapnya sangat serius jika tidak berfungsi dengan baik. Dia menggalas bebannya, dia memikirkan dan merenunginya.
"Saya berasakan mentalnya dia agak keletihan, bukanlah kami terlalu khuatir tetapi dia sememangnya tidak gemar menikmatinya dengan sepenuhnya hati tanpa berfikir banyak.
"Dia akan mendapat rentaknya sebaik dia berasakan sesuatu itu dengan lebih mudah."