UCL: Kekalahan kepada Inter satu peringatan buat Liverpool - Salah

Astro Arena
Mac 9, 2022 04:50 MYT
Dengan pasukannya layak ke suku akhir hasil kelebihan 2-1 secara agregat, Salah mahu kekalahan itu digunakan sebaik-baiknya buat Liverpool.- Foto via Astro Arena
MOHAMED SALAH berkata kekalahan 0-1 Liverpool kepada Inter awal pagi tadi merupakan satu peringatan selepas The Reds bergelut untuk melayakkan diri ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL).
Berbekalkan kelebihan 2-0 hasil jaringan Roberto Firmino dan Salah dalam perlawanan pertama, Liverpool kelihatan bermain dengan selesa sepanjang sejam pertama perlawanan kedua di Anfield.
Bagaimanapun, Lautaro Martinez kemudian memecahkan kebuntuan dengan sepakan lencong dari jarak 20 ela -- gol pertamanya dalam kejohanan itu sejak November 2020 -- untuk menghidupkan semula peluang Inter.
Layangan kad merah kepada Alexis Sanchez berselang 107 minit selepas jaringan itu terbukti menjejaskan rentak Inter memburu gol penyamaan, sekali gus menyelamatkan Liverpool.
Ia merupakan kekalahan pertama The Reds di Anfield sejak 7 Mac tahun lalu -- menamatkan rentetan 28 perlawanan tanpa kalah di laman sendiri -- dan secara keseluruhan yang ketiga sepanjang musim ini.
Dengan pasukannya layak ke suku akhir hasil kelebihan 2-1 secara agregat, Salah mahu kekalahan itu digunakan sebaik-baiknya buat Liverpool.
"Mereka pasukan yang kuat," kata Salah kepada BT Sport.
"Sewaktu perlawanan di laman lawan juga mereka amat bagus. Kami bergelut pada permulaan. Kami lebih banyak menguasai dalam babak kedua.
"Perkara terpenting adalah pasukan kami layak. Kami kalah tetapi ia perlawanan yang baik untuk kami mengambilnya sebagai satu pengajaran.
"Mungkin kami terlalu yakin. Sentiasa penting untuk mendapatkan kemenangan tetapi malam ini, percubaan kami terkena palang sebanyak dua kali dan kami juga melepaskan beberapa peluang.
"Tetapi perkara seperti itu boleh berlaku dan apa yang baik adalah ia tidak berlaku dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan kami masih layak.
"Semua orang mahu memenangi UCL dan EPL, jadi kami akan berjuang untuk kedua-duanya dan kita akan lihat," katanya.
#UCL #Liverpool #Mohamed Salah #inter milan