UCL: Inter bawa bekalan selesa ke San Siro
Sinar Harian
Mac 6, 2025 08:20 MYT
Mac 6, 2025 08:20 MYT
Lautaro Martinez (kiri) meraikan kejayaan menjaringkan gol ketika perlawanan pertama pusingan 16 UCL antara Feyenoord dan Inter Milan di Rotterdam, Belanda, 5 Mac 2025. (Foto AP)
JUARA 1970, Feyenoord Rotterdam berdepan tugas sukar untuk mengulangi pencapaian itu apabila tewas kepada juara tiga kali, Internazionale Milan, 2-0 dalam perlawanan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara UEFA (UCL) di Stadium De Kuip.
Jaringan setiap babak Marcus Thuram (m-38) dan Lautaro Martínez (m-50) menyaksikan De Trots van Zuid bimbingan legenda Arsenal, Robin van Persie perlu bekerja keras pada timbal balik kedua di San Siro, 12 Mac depan.
Penyudah berkualiti dari kedua-dua penyerang Perancis dan Argentina itu menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan, yang akan bertemu dengan pemenang pertembungan derbi Jerman antara Bayern Munich dan Bayer Leverkusen.
Inter, bimbingan Simone Inzaghi menikmati penguasaan bola yang lebih banyak, tetapi Feyenoord mencipta lebih peluang dalam perlawanan tersebut.
Ibrahim Osman, pemain sayap Ghana berusia 20 tahun, menjadi ancaman utama bagi tuan rumah, apabila dua kali memaksa penjaga gol Inter, Josep Martinez bekerja lebih keras di posisi gawang.
Thuram memecahkan kebuntuan lapan minit sebelum wisel separuh masa, menyambut hantaran lintang dari Nicolo Barella menewaskan Timon Wellenreuther untuk I Nerazzurri memimpin permainan.
Gol itu yang bertentangan dengan momentum perlawanan, menyemarakkan gergasi Serie A itu, yang kemudian tampil jauh lebih berbahaya dalam serangan.
Defisit De Trots van Zuid kemudian berganda lima minit memasuki babak kedua, apabila rembatan Martinez melepaskan rembatan yang tidak dapat dihalang Wellenreuther memberikan tuan rumah satu pendakian sukar di Milan selepas ini.
Jaringan Martínez itu menyaksikan dia menjadi penjaring terbanyak Inter dalam sejarah Liga Juara-Juara dengan 18 gol.
Feyenoord menekan hingga akhir mencari sesuatu untuk dibawa ke San Siro tetapi pertahanan Inter tenang bertahan dalam aksi yang menggembirakan Inzaghi. - Sinar Harian