UCL: Gol Elanga pastikan United bangkit ikat Atletico
Astro Arena
Februari 24, 2022 08:15 MYT
Februari 24, 2022 08:15 MYT
ATLETICO MADRID 1 MANCHESTER UNITED 1
Anthony Elanga masuk daripada bangku pemain simpanan untuk menjaringkan gol penyamaan ketika Manchester United terikat 1-1 dengan Atletico Madrid dalam perlawanan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi tadi.
Gol tandukan awal Joao Felix pada minit ketujuh seakan-akan memberikan bayangan bahawa Atletico akan membawa kelebihan daripada pertemuan di Wanda Metropolitano itu memandangkan jentera serangan United kelihatan tumpul dalam sebahagian besar aksi.
United gagal melakukan sebarang sentuhan bola dalam kawasan penalti lawan saingan UCL buat kali pertama sejak musim 2005-06 tetapi Elanga memanfaatkan sepenuh peluangnya selepas dimasukkan pada minit ke-75.
Pemain muda itu memastikan Atletico membayar harga mahal atas kegagalan Marcos Llorente menyudahkan peluang berharga sebelum waktu rehat, di mana dia hanya memerlukan lima minit selepas dimasukkan untuk menjaringkan gol penyamaan United selepas memanfaatkan kesilapan Reinaldo.
Kedua-dua pasukan akan kembali bertemu di Old Trafford pada 15 Mac ini tanpa kelebihan jaringan tetapi United sekurang-kurangnya membawa bekalan satu gol di laman lawan menjelang pertemuan itu.