UCL: Ferdinand, Scholes salahkan Rangnick punca United tersingkir

Astro Arena
Mac 16, 2022 12:47 MYT
Ralf Rangnick memberi arahan kepada pemain ketika perlawanan EPL antara Manchester United dan Tottenham Hotspurv di Stadium Old Trafford, Manchester, England, 12 Mac 2022. (AP)
RIO Ferdinand dan Paul Scholes menyalahkan kurangnya kepimpinan dan perancangan di Manchester United sebagai punca mereka disingkirkan oleh Atletico Madrid daripada Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi tadi.
Dengan jaringan tunggal Renan Lodi dalam babak pertama di Old Trafford memberikan Atletico kelebihan 2-1 secara agregat, United kelihatan tidak berbisa dan bergelut untuk mencipta sesuatu bagi menyamakan kedudukan.
Bagi bekas pertahanan tengah United, Ferdinand, perbezaan terbesar di antara kedua-dua pasukan itu bukannya disebabkan faktor dalam padang, sebaliknya adalah disebabkan perbezaan kualiti Ralf Rangnick dan Diego Simeone.
"Perbezaan di antara kedua-dua pasukan, Atletico mempunyai sebilangan pemain yang boleh diharapkan dan akan melakukan apa-apa sahaja yang dimahukan pengurus mereka," kata Ferdinand kepada BT Sport.
"Mereka faham akan tanggungjawab mereka dan bekerjasama sebagai satu pasukan.
"Manakala satu lagi pasukan, Man United, mereka melihat sesama sendiri seperti 'Siapa yang akan menyelamatkan kami kali ini? Siapa yang akan melakukan magis sekali lagi?'.
"Ia bukannya tentang apa yang sedang dihadapi satu pasukan, ia tentang momen hebat seorang individu dengan cara kerja yang amat berbeza," katanya.
BACA: Simeone dibaling objek penyokong Manchester United
Ferdinand enggan memberikan huraian lanjut mengenai komennya tetapi berkata kelab itu perlu berkembang dengan kesabaran apabila membawa masuk pengurus baru, satu proses yang dilaporkan telah bermula di belakang tabir.
"Apabila anda mendapat pengurus baru, mendapatkan orang yang tepat, anda bercakap mengenai tempoh minimum dua tingga tiga tahun sebelum anda boleh mencabar, dengan Manchester City dan Liverpool kini berada di tahap tertinggi," tambahnya.
Scholes, dalam pada itu, tanpa berselindung berkata pengurus interim, Rangnick, tidak mencapai jangkaan yang diharapkan dengan skuad yang dimilikinya.
"Jurulatih merupakan punca terbesar. Dapatkan jurulatih yang lebih sesuai.
"Ini bukanlah sekumpulan pemain yang teruk. Jika anda memberikan mereka struktur dan cara permainan, terdapat pemain yang benar-benar berbakat dalam skuad ini. Mereka tidaklah berbakat seperti pasukan di atas mereka, kita semua tahu perkara itu.
"Perkara paling utama yang perlu dilakukan kelab ini untuk memenangi sesuatu adalah mendapatkan jurulatih yang betul. Cari jurulatih yang sesuai dengan mereka untuk beberapa tahun bagi membina sebuah pasukan yang mampu mencabar.
"Atletico bukan pasukan yang lebih baik daripada Man United tetapi mereka memiliki jurulatih yang lebih baik. Jika dia (Simeone) yang melatih Man United, mereka pasukan yang akan memenangi perlawanan.
"Apa yang menjadi puncanya adalah kepimpinan, ia datang daripada jurulatih yang mahukan sesuatu daripada pemainnya dan mendapatkan apa yang dimahukan daripada pemainnya.
"Saya tidak mahu terus mengkritik pengurus ini, dia seorang yang baik, saya menggemari wawancaranya, dia amat jujur.
"Tetapi bagaimana dia terpilih untuk menjadi pengurus kelab ini -- sama ada untuk enam bulan, enam minggu atau enam perlawanan -- saya tidak tahu," katanya.
#Manchester United #Rio Ferdinand #UCL #Ralf Rangnick
;