UCL: Arsenal kenduri gol benam PSV di Eindhoven
Astro Arena
Mac 5, 2025 08:30 MYT
Mac 5, 2025 08:30 MYT
Aksi Jurrien Timber meraikan kejayaan menjaringkan gol pertama pasukannya ketika perlawanan UCL antara PSV dan Arsenal di Stadium Phillips, Eindhoven, Belanda, 4 Mac 2025. (Foto AP)
PSV 1 ARSENAL 7
Arsenal tidak berdepan masalah untuk menewaskan PSV Eindhoven 7-1 di tempat lawan dalam perlawanan pertama pusingan 16, Liga Juara-Juara UEFA (UCL), awal pagi tadi.
Anak buah Mikel Arteta menjaringkan tiga gol dalam tempoh 13 minit dalam babak pertama, dengan empat lagi jaringan dalam separuh masa kedua untuk memastikan mereka selangkah untuk mara ke suku akhir.
Jurrien Timber menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-18 sebelum pemain muda kelab itu, Ethan Nwaneri menambah satu lagi gol tiga minit kemudian dan rentak itu diteruskan Mikel Merino untuk tiga gol awal The Gunners.
Begitupun, kelab gergasi Belanda itu meraih satu gol hasil sepakan penalti yang disempurnakan Noa Lang selepas kekasaran yang dilakukan Thomas Partey.
Turut menempah nama selaku penjaring dalam separuh masa kedua adalah Martin Odegaard dengan dua gol, Leandro Trossard dan gol penutup oleh Riccardo Calafiori pada minit ke-85 sekali gus menutup malam gemilang Arsenal di Philips Stadion.
Untuk rekod, Arsenal merupakan pasukan pertama dalam sejarah UCL yang menjaringkan tujuh gol dalam perlawanan kalah mati di tempat lawan.
Ia juga merupakan kali pertama Arsenal menjaringkan tujuh gol dalam perlawanan di tempat lawan peringkat Eropah sejak menewaskan Standard Liege 7-0 dalam aksi Piala Juara pada November 1993.
The Gunners turut telah memenangi lima perlawanan terakhir mereka dalam saingan UCL.