UCL: Ancelotti tabik kelibat Kroos

Astro Arena
November 25, 2021 09:58 MYT
Ancelotti berkata gabungannya dengan Casemiro dan Modric mantap. - Astro ARENA
SHERIFF 0 REAL MADRID 3
Carlo Ancelotti menghamburkan pujian terhadap pemain tengah, Toni Kroos, selepas memainkan peranan besar dalam kemenangan 3-0 Real Madrid ke atas Sheriff dalam perlawanan Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.
Kroos menggandakan kelebihan Los Blancos sebelum rehat selepas David Alaba membuka tirai jaringan sementara Karim Benzema menokok gol ketiga dalam separuh masa kedua.
Kemenangan itu membantu gergasi LaLiga berkenaan mara ke pusingan 16 untuk musim ke-19 berturut-turut - satu-satunya kelab yang meraih pencapaianan berkenaan sejak format tersebut diperkenalkan pada musim 2003-04.
Kroos kini telah terlibat dengan empat gol dalam tiga perlawanan terakhir (dua gol dan dua lagi bantuan jaringan) untuk menyamai prestasi 13 perlawanan terakhir, maka tidak hairanlah Ancelotti gembira dengan sumbangannya.
"Jika Kroos cergas, kehidupan pengurus boleh menjadi lebih tenang. Sentuhannya tidak seperti orang lain.
"Gabungannya dengan Casemiro dan Modric mantap. Dia juga menjaringkan gol dan dia beraksi dengan sangat baik," kata pengurus berbangsa Itali itu dalam sidang media.
Perlawanan itu dimainkan pada hari yang sama ketika Benzema dijatuhi hukuman penjara yang ditangguhkan selama setahun selain didenda €75,000 (RM354,606) selepas didapati bersalah bersubahat dalam cubaan memeras ugut Mathieu Valbuena.
Sejak Jun 2015, penyerang Perancis itu merupakan salah seorang daripada lima individu yang dibicarakan atas percubaan memeras ugut bekas rakan sepasukan kebangsaan tersebut.
Ia nampaknya tidak memjejaskan tumpuan pemain berusia 33 tahun itu yang terus klinikal, justeru Ancelotti menegaskan penggempur itu hanya memberi tumpuan kepada apa yang berlaku di atas padang.
“Dia tenang, ia telah menjadi topik sejak sekian lama. Dia memberi tumpuan kepada Madrid dan saya nampak dia sihat," tambahnya.
Lencongan sepakan percuma Alaba itu menamatkan kemarau jaringannya dalam 50 perlawanan di peringkat Eropah sejak kali terakhir bintang Austria itu menyumbangkan gol buat Bayern Munich ketika menentang Arsenal pada November 2015.
Dia digantikan pada minit ke-64 oleh Nacho selepas mengalami kecederaan, namun Ancelotti berharap pemainnya itu sempat cergas untuk pertembungan LaLiga dengan Sevilla, Isnin depan.
"Dia mengalami sedikit masalah lutut.
"Ia nampaknya tidak membimbangkan kerana dia tidak mengalami kesakitan yang teruk. Kami berharap dia beraksi selepas," katanya.
Madrid hanya memerlukan satu mata ketika berdepan Inter dalam tempoh dua minggu lagi untuk memastikan mereka mara ke peringkat kalah mati sebagai juara Kumpulan D.
#bola sepak #Carlo Ancelotti #Toni Kroos #UCL
;