Ucapan TMJ bikin peminat bola sepak sebak

Madiha Abdullah
Julai 14, 2015 20:28 MYT
TMJ yakin sokongan peminat akan terus jadi kekuatan bola sepak di Johor.
Ucapan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim selepas tamat perlawanan antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Selangor semalam, nampaknya meninggalkan kesan yang mendalam buat peminat bola sepak tanah air.
Tunku Ismail, yang mesra disapa TMJ, melepaskan jawatannya sebagai teraju PBNJ, Ahad lalu.
Petikan ucapan TMJ (kredit Facebook Johor Southern Tigers)
Dalam ucapannya, baginda bertitah walaupun tidak lagi memegang tampuk tertinggi dalam badan bola sepak Johor, baginda tetap akan sentiasa menyokong pembangunan bola sepak negeri tersebut.
Baginda meluahkan rasa yakin bola sepak di negeri itu akan terus maju dan percaya sokongan kuat daripada penyokong akan terus menjadi nadi pasukan berkenaan.
Di laman sosial, netizen meluahkan rasa sebak dan sayu dengan ucapan TMJ itu.
Sebahagian reaksi netizen di Facebook.
Bagi kebanyakan peminat bola sepak, mereka menyifatkan TMJ sebagai watak penting dalam bola sepak bukan sahaja di PBNJ, malah dalam pembangunan bola sepak secara keseluruhannya.
Semenjak beberapa tahun kebelakangan ini, TMJ dilihat antara tokoh yang begitu giat dalam melaksanakan pembaharuan dan pembangunan bola sepak. Malah baginda disifatkan ramai sebagai 'suara' yang mewakili peminat bola sepak di negara ini.
#bola sepak #sukan #Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim #TMJ
;