Ucapan isteri mendiang Kobe Bryant undang sebak

Agensi
Februari 25, 2020 21:55 MYT
Vanessa dalam ucapannya berkata, Bryant merupakan seorang bapa penyayang dan seorang suami yang setia. Foto: AP Photo/Marcio Jose Sanchez
KIRA-KIRA 20,000 pengunjung membanjiri Stadium Staples Center, Los Angeles pada Isnin bagi memperingati mendiang legenda bola keranjang, Kobe Bryant.
Antara yang turut hadir adalah ahli keluarga, rakan-rakan dan para peminat.
Memorial tersebut dimulakan dengan persembahan khas oleh penyanyi popular, Beyonce dan majlis memperingati Kobe itu dikendalikan oleh hos Jimmy Kimmel.
Memorial itu turut diserikan lagi dengan ucapan oleh isteri mendiang, Vanessa Bryant dan beberapa rakan rapatnya termasuk bekas pemain bola keranjang Michael Jordan.
Vanessa dalam ucapannya berkata, Bryant merupakan seorang bapa penyayang dan seorang suami yang setia.
“Kobe merupakan MVP (Most Valueable Player) buat anak-anaknya. Dia tidak pernah lupa untuk menutup tandas dan selalu mengingatkan anak-anak perempuannya cantik dan bijak. Mendiang juga mengajar mereka untuk sentiasa berani dan bertabah ketika keadaan susah.
“Tuhan mengetahui bahawa kedua-dua mereka tidak dapat dipisahkan. Tuhan perlu mengambil kedua-duanya sekali untuk bersama. Sayang, tolong jagakan Gigi, saya akan jaga Nani, Bibi dan Coco. Kami masih lagi kumpulan terbaik. Kami sayang dan rindu kamu Booboo dan Gigi,” katanya.
Pada masa sama, ucapan Jordan turut mengundang sebak para pengunjung.
“Kobe Bryant merupakan inspirasi yang amat mengambil berat tentang corak permainan saya atau corak permainannya sendiri. Mendiang mahu menjadi pemain bola keranjang terbaik.
“Sepanjang pengenalan ini, saya selalu ingin menjadi abang yang terbaik untuk mediang,” ujarnya.
BACA: Peminat mahu logo NBA ditukar kepada bayang Kobe Bryant
Upacara penghormatan terakhir itu turut dimeriahkan dengan persembahan oleh penyanyai popular Alicia Keys dan Christina Aguilera.
Memorial itu diakhiri dengan tontonan filem pendek "Dear Basketball" yang menceritakan pahit manis perjalanan Bryant sepanjang bergelar pemain bola keranjang yang pernah merangkul Anugerah Akademi pada 2016.
Penjualan tiket memorial yang habis terjual itu akan disalurkan kepada Badan Sukan Mamba dan Mambacita yang menyokong program sukan buat anak muda kendalian Bryant sebelum ini.
Beberapa jam sebelum memorial tersebut, Vanessa Bryant memfailkan saman terhadap pemilik helikopter yang menyebabkan suami dan anak perempuannya, Gianna Maria Onore meninggal dunia apabila helikopter persendirian itu terhempas Januari lalu.
Saman tersebut mendakwa juruterbang helikopeter itu cuai dan lalai ketika menerbangkan helikopter itu dalam keadaan cuaca buruk.
BACA: Kobe Bryant maut dalam nahas helikopter
Dalam pada itu, Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional masih belum merumuskan punca kemalangan tersebut.
Sebelum ini media melaporkan helikopter itu tiada masalah teknikal ketika diterbangkan.
Laporan akhir dijangka akan siap dalam masa setahun atau lebih.
#Kobe Bryant #legenda bola keranjang #Los Angeles #Michael Jordan #Stadium Staples Center #Vanessa Bryant
;