Ubah persepsi e-sukan, pergiat kerjasama kerajaan, swasta - ESI
Hasimi Muhamad
Julai 10, 2021 16:24 MYT
Julai 10, 2021 16:24 MYT
KUALA LUMPUR: Kerjasama antara pihak kerajaan dan swasta perlu dipergiatkan dalam usaha membangunkan dan memajukan industri e-sukan negara ke peringkat antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif E-Sport Integrated (ESI) Ahmed Faris Amir berkata, data menunjukkan sekurang-kurang 21 juta "social gamers" direkodkan di Malaysia setakat ini.
Justeru katanya, budaya dan idea e-sukan perlu diperluaskan bukan hanya kepada golongan belia, bahkan di peringkat dewasa.
"Perlu ada kerjasama sama ada di peringkat kebangsaan atau entiti kerajaan dengan swasta untuk memastikan perkembangan bakat atau pembangunan ekosistem di Malaysia ini lebih bersifat inklusif dan holistik.
"Jadi, itu fungsi dan ESI untuk menjadi perantara antara swasta dengan kerajaan, dan pada hari ini saya rasa kita boleh berbangga, mengikut daripada bajet yang diberikan oleh kerajaan sepanjang tiga hingga empat tahun yang diterima di peringkat swasta.
"Selain itu, InsyaAllah (pelaksanaan) polisi akan memberi kelonggaran untuk organisasi e-sukan merancakkan lagi ekosistem. Jadi, semua kerjasama ini akan membantu Malaysia di pentas antarabangsa," katanya kepada Astro AWANI, hari ini.
ESI adalah inisiatif baharu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang dikuasakan oleh Impact Integrated untuk mendorong pertumbuhan dan kepelbagaian dalam industri e-sukan tempatan.
Mengulas lanjut, Ahmed Faris berkata penganjuran Liga e-Sukan Malaysia 2021 (MEL21) yang bermula hari ini hingga 10 September ini juga disifatkan sebagai platform terbaik untuk mencungkil bakat-bakat baharu dalam sukan tersebut.
Melalui kejohanan itu, pemain-pemain e-sukan di peringkat akar umbi yang berpotensi besar boleh diketengahkan dan dilatih menjadi pemain profesional.
"Penting untuk saya katakan bahawa MEL tidak seperti kejohanan yang kita anjurkan pada tahun lepas iaitu Malaysia Esports Championship (MEC), yang mana penyertaannya lebih kepada pasukan profesional yang sudah biasa bertanding.
"Jadi, MEL lebih menjurus kepada akar umbi dan sebab itu kita bekerjasama dengan Persekutuan E-sukan Malaysia (MESF) dan Persatuan E-sukan Negeri untuk kita cungkil lebih banyak bakat di peringkat akal umbi di setiap negeri," ujarnya lagi.
Katanya lagi, potensi untuk pemain-pemain baharu ini direkrut oleh pihak swasta sebagai pemain profesional adalah lebih besar menerusi penganjuran liga-liga e-sukan.
Bagaimanapun, Ahmed Faris menegaskan persepsi bahawa e-sukan hanya sekadar hiburan semata-mata perlu diubah, sebaliknya ia harus dilihat sebagai industri yang mampu merancakkan ekonomi negara.
"Ini adalah tanggungjawab ESI untuk memastikan ada jambatan antara golongan yang tidak memahami dengan golongan yang memahami (mengenai e-sukan).
"Setakat ini kita telah berjaya menghasilkan banyak program dan perkara-perkara yang memang membangunkan ekosistem e-sukan termasuk mewujudkan platform https://www.esukan.gg/, penganjuran liga e-sukan dan sebagainya. Kita juga dalam perjalanan untuk menyiapkan hab e-sukan kebangsaan di Puchong yang dimiliki oleh KBS.
Mengenai MEL2021 pula, Ahmed Faris berkata pihaknya menerima sekurang-kurangnya 11,000 penyertaan melibatkan empat permainan popular dalam kalangan peminat e-sukan iaitu PUBG, Mobile Legends, FIFA21 dan Dota 2.
PUBG mencatatkan penyertaan paling tinggi iaitu sebanyak 1,443 pasukan (5,772 pemain) diikuti Mobile Legends sebanyak 883 pasukan (4,415 pemain).
Liga tersebut dianjurkan sepenuhnya secara dalam talian dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Pemenang di peringkat negeri akan berentap dalam Liga Kebangsaan yang dijalankan dalam format round-robin, yang mana pasukan atau pemain dengan pungutan mata tertinggi akan memenangi hadiah wang tunai RM20,000 dan diisytihar sebagai Juara Kebangsaan.
#e-sukan
#E-sukan Malaysia 2021
#E-Sport Integrated
#pubg
#Mobile Legends
#FIFA21
#Dota 2
#gamers
#Industri e-sukan
#PKP 3 0
#berita hari ini