U Mobile taja wira, wirawati negara ke Sukan Olimpik Istimewa Dunia 2023

Israr Khalid
Jun 23, 2023 07:00 MYT
Penajaan U Mobile adalah cukup padan dan selaras dengan matlamat syarikat tersebut untuk membangkitkan semangat Takkan Kalah dalam diri setiap individu.
KUALA LUMPUR: Berlin menjadi tuan rumah kepada lebih 7,000 atlet dan delegasi dari 190 negara apabila ia menganjurkan Sukan Olimpik Istimewa Dunia 2013 - temasya sukan inklusif untuk insan kekurangan upaya intelektual.
Seramai 22 atlet istimewa mewakili negara ke temasya tersebut yang berlangsung pada 17 hingga 25 Jun ini dan 16 orang daripadanya adalah mereka yang kekurangan upaya intelektual dan enam lagi adalah ‘Unified Partner’.
U Mobile, syarikat telekomunikasi berpandukan data dan pemenang pelbagai anugerah, dengan bangganya menaja pasukan Olimpik Istimewa Malaysia yang keseluruhannya dianggotai 39 orang termasuk, jurulatih, pegawai dan kakitangan perubatan yang dipimpin oleh Ketua Delegasi, Dr. Sivanesan Govindasamy dibantu Bong Koi Sin selaku Penolong Ketua Delegasi.
Kata Ketua Pegawai Pemasaran U Mobile, Navin Manian, inisiatif adalah cukup padan dan selaras dengan matlamat syarikat tersebut untuk membangkitkan semangat ‘Takkan Kalah’ dalam diri setiap individu.
“U Mobile sangat berbesar hati untuk berpeluang menjadi penaja utama pasukan Olimpik Istimewa Malaysia yang bertanding dalam Sukan Olimpik Istimewa Dunia di Berlin.
“Kami berharap kerjasama ini dapat membangkitkan kesedaran tentang betapa hebatnya para Olimpian Istimewa kita dan memupuk keterangkuman untuk setiap tahap keupayaan,” katanya.
Edisi temasya kali ini menyaksikan buat pertama kalinya pasukan Malaysia diperkuat dengan Unified Partners yang akan membantu para atlet kekurangan upaya intelektual dalam tiga sukan - boling, bocce dan badminton.
Dr. Siva menyatakan terima kasih tak terhingga kepada U Mobile atas usaha mereka yang dilihatnya sebagai satu pentas yang sangat berkesan untuk menggemakan suara perubahan terhadap mereka di dalam komuniti kekurangan upaya intelek.
Bercakap tentang peluang menggenggam pingat, kata Dr. Siva “Walaupun kita mensasarkan tiga pingat emas, apa yang paling penting adalah atlet-atlet ini mempunyai peluang untuk bertanding di pentas kesukanan yang sama dengan lebih 7,000 atlet lain dari seluruh dunia.
“Mereka akan bertanding, pada masa sama juga menikmati keseronokan, persahabatan, keberanian dan pencapaian bersama.”
Ayuh, nyatakan sokongan tak berbelah bahagi anda kepada wira wirawati istimewa negara dengan muat naik kata-kata semangat bersertakan hashtag rasmi #Unbeatable Together dan #MYUnbeatable Team.
Pada masa sama, bagi menyebar luaskan serta menggamit sokongan komuniti untuk pasukan Olimpik Istimewa Malaysia, U Mobile mewujudkan ‘filter’ realiti terimbuh (AR) di mana pengguna boleh berinteraksi dengannya dan kongsikannya sebagai mempamer sokongan mereka. Lihat ‘filter tersebut di sini: (https://shorturl.at/dlwTV)
Untuk maklumat lanjut berkenaan Olimpik Istimewa Malaysia dan usaha mereka berkerja dengan komuniti kurang keupayaan intelektual, layari https://www.u.com.my/specialolympicsmalaysia atau https://www.specialolympicsmalaysia.org.
#U Mobile #Special Olympics #Sukan Olimpik Istimewa Dunia 2013 #Unified Partner
;