Tze Yong terima suntikan, bantu beraksi di Eropah

Bernama
Februari 23, 2024 14:18 MYT
Tze Yong (gambar) dijadual membuka kempen di Perancis dengan bertemu wakil Taiwan, Su Li Yang manakala pada All England beliau akan berdepan pemain India, Lakshya Sen pada pusingan pertama. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong, hari ini menerima suntikan bagi meredakan kesakitan tulang belakang akibat kecederaan yang dialaminya sewaktu Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.
Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky berkata Tze Yong menerima suntikan itu di Institut Sukan Negara, Bukit Jalil dan ikhtiar itu diharap dapat membantu pemain berkenaan beraksi pada dua kejohanan di Eropah iaitu Terbuka Perancis dari 5-10 Mac ini diikuti All England pada 12-17 Mac.
"Berdasarkan perbualan dengan Tze Yong, jika suntikan itu berhasil, dia boleh berlatih dengan normal," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas sesi latihan di sini hari ini.
Susulan kecederaan itu, pemain berusia 23 tahun berkenaan sebelum ini hanya menjalani latihan ringan.
Pemain ranking ke-16 dunia itu hanya bertahan kira-kira tiga minit sebelum terpaksa menarik diri daripada kejohanan dwitahunan itu sewaktu ketinggalan 1-3 menentang Jason Teh dari Singapura.
Tze Yong dijadual membuka kempen di Perancis dengan bertemu wakil Taiwan, Su Li Yang manakala pada All England beliau akan berdepan pemain India, Lakshya Sen pada pusingan pertama.
Sementara itu, Rexy pada masa sama mengakui pemain dari Johor itu jelas kecewa dengan situasi dihadapinya kini memandangkan beliau sedang memburu slot ke Sukan Olimpik 2024 di Paris pada 26 Julai-11 Ogos ini.
Tze Yong ketika ini berada di tempat ke-15 dalam ranking Race to Paris dengan mengumpul 58,735 mata.
Mengikut kriteria kelayakan Paris 2024, sejumlah 35 tempat kuota, satu tempat negara tuan rumah dan dua tempat global diperuntukkan untuk acara perseorangan.
Sebuah negara hanya boleh mempunyai maksimum dua pemain dalam satu kategori perseorangan jika kedua-duanya berada pada kedudukan 16 teratas pada penghujung tempoh kelayakan Race to Paris dijadualkan pada 28 April ini.
-- BERNAMA
#Ng Tze Yong #suntikan #sakit tulang belakang #BATC 2024
;