Tze Yong, Jun Hao mara ke suku akhir Terbuka Thailand

Bernama
Jun 1, 2023 22:36 MYT
Tze Yong, pemain nombor 24 dunia, mengejutkan pilihan utama yang juga pemain ketujuh dunia, Chow Tien Chen dari Taiwan dalam 'straight set; 23-21, 23-21 dalam pertarungan selama 59 minit. - Foto BERNAMA
BANGKOK: Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong dan Leong Jun Hao berjaya mara ke suku akhir Terbuka Thailand 2023 di Stadium Tertutup Huamak, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, cabaran Malaysia dalam beregu campuran berakhir selepas tiga pasangan negara terkandas di pusingan kedua.
Tze Yong, pemain nombor 24 dunia, mengejutkan pilihan utama yang juga pemain ketujuh dunia, Chow Tien Chen dari Taiwan dalam 'straight set; 23-21, 23-21 dalam pertarungan selama 59 minit.
Pada set pertama, Tze Yong ketinggalan 9-17 namun berjaya menampilkan kebangkitan untuk mengikat kedudukan kepada 20-20 sebelum menamatkan set pertama dengan keputusan 23-21.
Pada set kedua, TYze Yong sekali lagi bangkit daripada ketingalan 8-12 sebelum mengikat kedudukan 17-17 dan berjaya mengawal tekanan untuk mencatatkan kemenangan 23-21, sekali gus merakamkan kemenangan pertama ke atas Tien Chen dalam tiga pertemuan setakat ini.
Saya bernasib baik apabila dapat bangkit daripada ketinggalan dalam kedua-dua set dan memenangi perlawanan... Saya gembira dengan prestasi saya hari ini.
"Saya akan berbincang dengan jurulatih mengenai permainan esok. Saya akan kekal fokus supaya dapat memperagakan aksi terbaik menentang pemain Hong Kong, Lee Cheuk Yiu, esok," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Jun Hao, pemain ranking ke-65 dunia, bangkit daripada ketingalan set pertama 20-22 sebelum menundukkan pemain Perancis, Christo Popov, 21-13, 21-19 dalam perlawanan 76 minit.
"Ia adalah perlawanan yang sukar terutama pada set pertama. Saya pada mulanya mendahului tetapi lawan akhirnya menewaskan saya. Saya memberi tekanan kepada diri sendiri untuk mendapatkan mata.
"Dalam set penentuan, saya bermain dengan mengikut pergerakan angin dan mengambil peluang untuk menyerang. Saya gembira memenangi perlawanan itu," katanya yang akan berdepan pemain nombor 23 dunia, Lakshya Sen dari India di peringkat suku akhir.
Dalam pada itu, beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tewas 23-21, 17-21, 11-21 kepada pasangan Jepun, Yuki Kaneko-Misaki Matsutomo manakala Chan Peng Soon-Cheah Yee See tumpas 13-21, 17-21di tangan pilihan kelima, Kim Won Ho-Jeong Na Eun dari Korea Selatan.
Pasangan profesional ranking ketujuh dunia, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jamie tewas kepada pasangan Hong Kong, Jordan Tang Chun Man-Tse Ying Suet, 13-21,17-2.
Dalam pada itu, beregu wanita negara, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien gagal meneruuskan kemaraan apabila tewas kepada gandingan Korea Selatan, Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong, dengan keputusan 10-21, 21-16, 19-21.
-- BERNAMA
#Terbuka Thailand #suku akhir #Ng Tze Yong #Leong Jun Hao
;