Tze Yong cipta kejutan besar singkir Alexsen di All England

Bernama
Mac 16, 2023 16:52 MYT
Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong mencipta sensasi tersendiri apabila menyingkirkan penyandang juara All England, Viktor Axelsen, pada saingan pusingan kedua di Birmingham, malam ini. - Foto Facebook BAM
KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong mencipta sensasi tersendiri apabila menyingkirkan penyandang juara All England, Viktor Axelsen, pada saingan pusingan kedua di Birmingham, malam ini.
Pertembungan sulung dengan jaguh dunia dari Denmark di Utilita Arena itu, menyaksikan Tze Yong menampilkan semangat juang yang tinggi untuk mendahului perlawanan dengan keputusan 21-15.
Bagaimanapun, Axelsen, tidak gusar dengan kekalahan set pertama itu dan menggunakan pengalaman beliau untuk bangkit semula di set kedua dengan kemenangan 21-9, sekali gus mengheret perebutan slot suku akhir ke rubber set.
Pada set penentuan, Tze Yong, 22, mengekalkan rentak permainan dan kekal tenang di sebalik tekanan Alexsen yang cuba bangkit pada penghujung permainan, namun pemain negara itu mampu bertahan dengan kemenangan 23-21.
Tze Yong seterusnya dijadual bertemu pemain China, Li Shi Feng, dalam pusingan suku akhir esok.
-- BERNAMA
#Ng Tze Yong #all england #viktor axelsen #cipta kejutan