Tze Yong ada kualiti tersendiri - Hendrawan
Bernama
Ogos 11, 2023 05:00 MYT
Ogos 11, 2023 05:00 MYT
KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong mampu mencipta kejutan sekiranya dapat mengekalkan prestasi terbaiknya seawal pusingan pembukaan pada Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark, dari 21 hingga 27 Ogos ini.
Pandangan itu dilontarkan oleh ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Henderawan sambil menyifatkan anak didiknya itu mempunyai karakter tersendiri di gelanggang selain tidak mustahil bagi pemain itu memberi cabaran kepada pemain lain.
"Dia ada standard, jadi selagi dia terus memberikan aksi terbaiknya apa jua boleh berlaku di kejohanan tersebut. Jadi saya mahu dia fokus kepada permainan satu persatu terlebih dahulu," katanya menerusi rakaman audio dikongsi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kepada media, pada Jumaat.
Tze Yong, 23, pemain ranking ke-22 dunia akan membuka tirai saingan menentang pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020, Zhao Jun Peng dari China.
Seandainya melepasi pusingan pertama, Tze Yong berkemungkinan bertemu pemain ranking ke-12 dunia, Anders Antonsen dari Denmark.
Tze Yong tidak pernah berdepan dengan kedua-dua pemain tersebut.
Pada penampilan sulung pemain berusia 23 tahun itu pada edisi lepas di Tokyo, tahun lalu, Tze Yong tersingkir di pusingan kedua di tangan wakil Thailand, Sitthikom Thammasin 9-21, 21-10, 16-2.
-- BERNAMA