Tze Liang tidak ambil mudah aksi GP Kuala Lumpur

Bernama
November 9, 2018 19:36 MYT
Untuk beliau melayakkan diri secara merit ke Sukan Olimpik, Tze Liang perlu berada dalam kelompok 12 penerjun terbaik dalam acara individu dan tiga terbaik untuk acara terjun seirama. - Bernama
Penerjun elit negara, Ooi Tze Liang, mahu menimba sebanyak mungkin pengalaman sebelum pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 bermula tahun depan.
Justeru, penerjun berusia 24 tahun itu, tidak mahu melepaskan peluang untuk beraksi pada Kejohanan Terjun FINA Grand Prix (GP) Kuala Lumpur di sini walaupun tanpa cabaran penerjun elit dalam dan luar negara.
Selepas berakhirnya Sukan Asia 2018 di Indonesia, Ogos lalu, penerjun elit negara kebanyakannya direhatkan dan hanya akan kembali menyertai kejohanan bermula tahun depan.
Bagaimanapun, Tze Liang merupakan satu-satunya penerjun senior disenaraikan dalam skuad negara yang kebanyakannya penerjun pelapis dan remaja.
Selaku penerjun senior, Tze Liang menepati ramalan apabila meraih pingat emas acara 3m papan anjal individu lelaki dengan mengumpul 428.45 mata untuk mengatasi pencabar terdekat, Hrvoje Brezovac dari Croatia yang ketinggalan 78.15 mata.
Gangsa pula menjadi milik peserta Singapura, Timothy Lee yang meraih 320.85 mata.
"Walaupun kali ini penyertaan tidak ramai tapi saya masih kena fokus dan memberi tumpuan untuk buat terjunan yang terbaik. Saya tidak boleh ambil mudah dengan kelebihan ini," katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil di sini hari ini.
Mengenai persediaan untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, pemenang pingat emas Sukan Komanwel Glasgow 2014 itu berkata beliau perlu memberikan komitmen sepenuhnya dalam penyertaan di Kejohanan Dunia Akuatik di Gwanju, Korea Selatan, pada Julai tahun hadapan.
"Tahun depan merupakan pusingan pertama kelayakan Sukan Olimpik, saya akan tumpu sepenuh perhatian kepada kejohanan untuk dapatkan sebanyak mungkin pengalaman," katanya.
Untuk beliau melayakkan diri secara merit ke Sukan Olimpik, Tze Liang perlu berada dalam kelompok 12 penerjun terbaik dalam acara individu dan tiga terbaik untuk acara terjun seirama.
Pada hari pertama kejohanan hari ini, selain Tze Liang, turut meraih pingat emas ialah gandingan gandingan Loh Zhia Yi-Ong Ker Ying dalam acara 3m papan anjal seirama.
Malaysia turut meraih dua pingat gangsa menerusi Kimberly Bong dalam acara 10m Platform wanita dan gandingan Bertrand Rhodict Lises-Enrique Maccartney Harold dalam acara 10m Platform Seirama lelaski.
-- BERNAMA
#atlet negara #Grand Prix #Ooi Tze Liang #penerjun negara #prestasi #Sukan Asia
;