Tze Liang buru slot ke sukan Olimpik Paris 2024

Bernama
November 4, 2023 21:28 MYT
Tze Liang berharap kekal konsisten menjelang Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar pada Februari 2024, yang menawarkan slot ke Olimpik Paris. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Setelah terlepas tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, penerjun berpengalaman negara Ooi Tze Liang meletakkan sasaran untuk kembali beraksi di temasya Paris 2024.
Walaupun tidak banyak penambahbaikan dapat dilakukan dalam teknik terjunan, namun penerjun yang bakal menginjak usia 30 tahun bulan ini berharap mampu kekal konsisten menjelang Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar pada Februari tahun depan, yang menawarkan slot ke Olimpik Paris.
"Sebanyak 18 penerjun terbaik acara 3m papan anjal lelaki bukan sahaja berentap di separuh akhir tetapi juga memperoleh kelayakan secara merit ke Sukan Olimpik.
"Hanya empat slot dalam acara 3m papan anjal seirama lelaki. Jadi, saya rasa peluang lebih cerah untuk layak dalam acara individu," katanya kepada pemberita di Kejohanan Terjun Terbuka Malaysia 2023 berlangsung di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil hari ini.
Kali terakhir Tze Liang beraksi di temasya sukan terbesar dunia itu pada edisi Rio 2016, yang merupakan penampilan pertamanya di Sukan Olimpik.
Tze Liang dijangka meneruskan gandingan bersama Muhammad Syafiq Puteh dalam acara 3m papan anjal seirama di Doha nanti.
Mengenai gandingan bersama Muhammad Syafiq, atlet kelahiran Pulau Pinang itu berkata mereka semakin serasi selepas kedua-duanya meraih pingat gangsa di Sukan Asia Hangzhou 2022.
Terdahulu, Tze Liang menepati ramalan muncul juara acara 3m papan anjal individu selepas mengutip 418.80 mata, diikuti Vyacheslav Kachanov dari Uzbeskitan dengan 379.05 mata untuk pingat pereak.
Seorang lagi wakil negara Yong Rui Jie pula meraih gangsa selepas mengumpul 368.15 mata.
Dalam acara 10m platform wanita, Nurul Farisya Affendi dari Sarawak mengumpul 212.15 mata untuk muncul juara, mengejutkan pemenang pingat emas Sukan SEA 2023 negara Lee Yiat Qing yang mengutip 197.30 mata untuk pingat perak.
Nurul Farisya, 14, yang terkejut dengan kemenangan hari ini berkata beliau tidak menyangka dapat mengatasi penerjun kebangsaan dalam acara yang berlangsung sehingga Isnin.
-- BERNAMA
#penerjun negara #Ooi Tze Liang #olimpik paris #kelayakan
;