Twincity Marathon rai golongan OKU

Astro Awani
April 28, 2024 16:57 MYT
Penglibatan OKU dalam acara sedemikian dilihat mampu menyemai mesej keterbukaan masyarakat selain memupuk semangat serta kecekalan golongan tersebut.
CYBERJAYA: Perbezaan fizikal tidak melunturkan semangat golongan orang kurang upaya (OKU) untuk menyertai acara larian Twincity Marathon sejauh lima kilometer (km) di Cyberjaya hari ini.
Penglibatan golongan itu dalam acara sedemikian dilihat mampu menyemai mesej keterbukaan masyarakat selain memupuk semangat serta kecekalan golongan tersebut.
Presiden Kelab Komuniti Bikeisable, yang berperanan memperkasa golongan OKU terlantar, Wira Sudepja Rabu berkata, penglibatan mereka dalam acara itu memberi mesej bahawa kebersamaan dalam apa jua aktiviti sukan wajar diraikan.
"Kita gembira kerana semua mereka berjaya menuju ke garis penamat dalam kategori larian santai dengan jarak lima km," katanya.
Sementara itu, dianggarkan sekitar 8,000 peserta dari lebih 24 negara menyertai acara larian berkenaan.
Acara maraton yang diadakan setiap tahun di Cyberjaya itu merangkumi empat kategori larian dengan jarak 42km, 21km, 12km dan 5km.
Turut kelihatan dalam acara larian tersebut ialah bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Sementara itu, Ketua Penasihat Ten Sense Sdn Bhd, pengajur acara itu, Datuk Najib Ibrahim, berkata komuniti OKU juga merupakan sebahagian masyarakat dan semangat mereka boleh dijadikan teladan.
Tambahnya, ia mampu memberi inspirasi kepada golongan OKU dan masyarakat bahawa kejayaan mampu dicapai dengan semangat yang kuat.
#Twincity Marathon #OKU #Cyberjaya #Bikeisable
;