Tunku Ismail masih Presiden FAM - Hamidin

Bernama
Mac 16, 2018 14:16 MYT
HAMIDIN: Tunku Ismail Sultan Ibrahim masih sah Presiden FAM dan mengenai peletakan jawatannya dari badan induk itu lebih kepada luahan kekecewaan baginda terhadap segelintir netizen. - Foto BERNAMA/Fail
Kenyataan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengenai peletakan jawatan badan induk itu lebih kepada luahan kekecewaan baginda terhadap segelintir netizen yang kerap kali menyalahkan Presiden FAM setiap kali ranking dunia Harimau Malaya jatuh.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, Tunku Ismail tidak perlu meletak jawatan sebagai Presiden FAM hanya kerana desakan segelintir netizen itu.
Beliau berkata, banyak kejayaan dicipta Tunku Ismail sepanjang tempoh hampir setahun baginda bergelar Presiden FAM sejak 25 Mac 2017.
"Takkanlah kerana isu ranking, kita rela kehilangan seorang individu yang cukup berwibawa, begitu bersemangat dan bersungguh-sungguh untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak negara.
"Saya sebenarnya berasa terkejut selepas membaca kenyataan Tunku Mahkota Johor yang menyatakan baginda harus meletak jawatan sebagai Presiden FAM susulan ranking skuad Harimau Malaya jatuh tiga anak tangga kepada kedudukan ke-178 dunia, petang semalam," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Hamidin berkata, beliau dan semua barisan anggota Jawatankuasa Eksekutif FAM (Exco FAM) bersetuju terus berdiri teguh di belakang kepimpinan Tunku Ismail sebagai Presiden FAM dan mahu baginda terus menyandang jawatan berkenaan.
Beliau berkata, Tunku Ismail berjaya meningkatkan nilai Liga Malaysia berbanding sebelum ini dengan mendapatkan penajaan lumayan yang sekali gus membolehkan setiap pasukan Liga Super menikmati insentif sebanyak RM3 juta manakala pasukan Liga Premier sebanyak RM1 juta untuk musim ini.
Beberapa pasukan kebangsaan juga mempamerkan persembahan memberangsangkan di peringkat Asia dengan skuad B-23 kendalian Datuk Ong Kim Swee mara ke suku akhir Kejuaraan B-23 AFC 2018, skuad B-19 kebangsaan kendalian Bojan Hodak layak ke Kejuaraan B-19 AFC 2018 dan skuad B-16 layak ke Kejuaraan B-16 AFC 2018 serta skuad futsal lelaki kebangsaan layak ke Kejuaraan Futsal AFC 2018.
Hamidin berkata, kredibiliti Tunku Ismail turut memudahkan FAM menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak di seluruh dunia serta memperkasakan lagi hubungan dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) .
"Sekiranya Tunku Ismail meletak jawatan, kita akan kehilangan penaja dan saya sendiri tidak dapat membayangkan siapa yang layak untuk menggantikan baginda sebagai Presiden FAM," katanya sambil memberitahu semua anggota gabungan FAM sependapat bahawa Tunku Ismail adalah individu yang layak menduduki kerusi Presiden FAM.
Hamidin berkata, kenyataan Tunku Ismail semalam turut mendapat perhatian wakil daripada FIFA dan AFC yang menghubunginya untuk bertanya tentang perkara itu dan mereka sependapat bahawa Tunku Ismail perlu terus kekal menerajui FAM dan tidak wajar meletak jawatan.
Menurutnya, isu ranking yang melanda skuad kebangsaan boleh diperbaiki dan beliau yakin pasukan kendalian jurulatih Tan Cheng Hoe, yang akan memulakan aksi tahun ini dengan menentang Mongolia dan Lubnan bulan ini, akan memperoleh keputusan positif.
"Dalam dunia ini, susah untuk kita memuaskan hati semua pihak. Biarpun mungkin Tunku Ismail tidak dapat memuaskan hati segelintir netizen ini, baginda sebenarnya telah berjaya memuaskan hati ramai pemegang taruh sukan bola sepak di negara ini, termasuk di kalangan pasukan, pemain, jurulatih, pegawai, peminat, penyokong dan semua yang terlibat.
"Saya ingin menegaskan bahawa Tunku Ismail masih sah bergelar Presiden FAM kerana mengikut prosedur FAM. Jika mana-mana Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM mahu meletak jawatan, individu berkenaan perlu menghantar surat rasmi dan Jawatankuasa Eksekutif FAM berhak menerima atau menolak peletakan jawatan itu," katanya.
-- BERNAMA
#Datuk Hamidin Mohd Amin #FAM #Setiausaha Agung FAM #TMJ #Tunku Ismail Sultan Ibrahim
;