Tunku Ismail dedah sedang jalani kursus kejurulatihan di Sepanyol

Astro Arena
September 21, 2022 04:49 MYT
TUNKU ISMAIL: Benar, saya sedang mengambil lesen kejurulatihan di Sepanyol tetapi bukannya saya hendak menjadi jurulatih. - Gambar fail
PEMILIK Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, mendedahkan bahawa baginda sedang menjalani kursus kejurulatihan di Sepanyol.
Tunku Ismail mendedahkan perkara itu dalam satu sesi soal jawab bersama penyokong pasukan Harimau Selatan itu semalam.
"Benar, saya sedang mengambil lesen kejurulatihan di Sepanyol tetapi bukannya saya hendak menjadi jurulatih, saya mahu belajar lebih mendalam mengenai bola sepak untuk pengetahuan saya sendiri," katanya seperti yang dipetik Nadi Arena.
"Jadi, apabila saya bercakap atau mengeluarkan kenyataan ataupun berbincang dengan jurulatih saya, ia tiadalah kosong sangat. Adalah -- orang kata -- isi sedikit.
"Kursusnya selama enam bulan di Sepanyol tetapi ia tidak secara terus-menerus."
Dalam pada itu, Tunku Ismail turut menyambut baik kehadiran Lim Teong Kim dalam arena bola sepak Malaysia selepas bekas pengarah Akademi Mokhtar Dahari itu dilantik sebagai ketua jurulatih Perak FC bagi musim depan.
"Ia sama ada Perak mempunyai wang yang begitu banyak atau apabila dia (Teong Kim) sudah tiada kerja, dia (sedia) menerima gaji yang lebih kecil.
"Ia adalah perkara yang positif kerana dia dianggap jurulatih terhandal di Malaysia. Saya yakin dia akan buat yang terbaik untuk Perak.
"Ia akan meningkatkan persaingan dalam liga kita dan sudah pasti, apabila tahap persaingan itu meningkat, ia akan menmperbaiki liga kita dan setiap pemain yang ada dalam negara."
Dalam masa sama, Tunku Ismail turut menyangkal spekulasi yang mengaitkan JDT dengan bekas bintang Jerman, Mesut Ozil.
"Saya tidak mahu Johor Darul Ta'zim menjadi sebuah kelab program bersara buat mana-mana pemain dalam dunia -- datang ke sini hanya untuk mendapatkan gaji yang besar dan kemudian pencen daripada arena bola sepak.
"Sesiapa sahaja yang datang ke sini, perlu memberikan komitmen sepenuhnya, sanggup berlari beberapa meter untuk membantu pertahanan dan sanggup memberikan nyawanya untuk kelab.
"Dan satu-satunya individu yang boleh dikatakan pemain bintang dan saya amat bernasib baik -- yang saya rasa mungkin saya tidak akan dapat lagi pemain seperti itu dengan harga tersebut dan komitmen yang diberikannya -- adalah Luciano Figueroa.
"Mesut Ozil tidak pernah berada dalam perancangan saya kerana jika dia bagus, mengapa tiada kelab di sana yang mahu mengambilnya."
#Tunku Ismail Sultan Ibrahim #kursus kejurulatihan #sepanyol #Lim Teong Kim
;