Tunku Ismail bakal berjumpa pegawai FAM secara tertutup

Astro Awani
Julai 19, 2016 21:50 MYT
TMJ pada 18 Julai lalu, mendakwa memiliki maklumat tentang salah laku pengurusan FAM.
PEMILIK Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim bakal mengadakan pertemuan dengan exco tertinggi dan pegawai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) secara peribadi dan tertutup bagi membincangkan isu sedia ada berkaitan skuad kebangsaan yang dibangkitkan baru-baru ini.
Bernama melaporkan, lokasi pertemuan tersebut masih belum ditentukan sama ada di Kuala Lumpur mahu pun di Johor Bahru.
Menurut laman sosial Johor Southern Tigers petang tadi, pertemuan itu bertujuan untuk menggesa individu-individu tertentu untuk berundur dan menyerahkan tugasan tersebut kepada mereka yang lebih berkaliber, dedikasi dan berintegriti bagi FAM dan bagi pengurusan pasukan kebangsaan.
Tunku turut bertitah, "Individu yang akan menerajui FAM dan pasukan kebangsaan mestilah layak dan berkaliber serta diterima oleh semua pihak termasuk semua penyokong bola sepak tanah air."
Pada 18 Julai lalu, Tunku Ismail mendedahkan bahawa baginda memiliki satu pendrive menyimpan aktiviti dalaman FAM, termasuk ketirisan penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia.
Baginda berkata, pendrive tersebut diperolehi menerusi sahabatnya yang berkedudukan tinggi di Kuala Lumpur.
BACA: TMJ dakwa miliki 'pendrive' aktiviti dalaman FAM
Pada Isnin, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin memberitahu pihaknya sedia menghubungi Tunku Ismail susulan dakwaan penyelewengan dalam persatuan itu.
"Saya akan cuba hubungi TMJ selepas ini," katanya sewaktu ditemui media dalam sidang media bulanan skuad kebangsaan persatuan itu.
BACA: FAM sedia jumpa Tunku Ismail berkaitan isu 'pendrive'
#FAM #isu salah laku #Rasuah #TMJ #Tunku Ismail Sultan Ibrahim
;