'Tunggu minggu depan' - Sazali Samad

Bernama
Disember 16, 2015 20:23 MYT
Beliau yang digelar 'Orang Besi Malaysia' juga pernah meraih sembilan kali gelaran Mr Asia iaitu 1996, 1998, 1999, 2000, 2004, 2009, 2010, 2012 dan 2014. - Gambar fail
'Mr Universe' Sazali Samad akan menjelaskan perkara berhubung dakwaan positif doping yang dikaitkan
dengan dirinya pada minggu depan.
Sazali hari ini dilihat menghadiri prosiding pendengaran doping dengan Jawatankuasa Disiplin Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM) di Kompleks Sukan Desa Tasik, Sungai Besi, di sini hari ini.
Ketika dihubungi Bernama beliau bagaimanapun enggan memberi sebarang komen lanjut dengan perkara tersebut buat masa ini.
"Maaf, saya tiada nak komen apa-apa, tunggu minggu depan," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, seorang atlet bina badan dikatakan gagal dalam ujian doping oleh Agensi Antidoping Malaysia (Adamas) pada 1 Sept lepas sebelum kontinjen negara berangkat ke Tashkent, Uzbekistan bagi menyertai Kejohanan Asia ke-49 bermula 29 Sept hingga 5 Okt.
Sazali pernah memenangi kejuaraan Mr Universe sebanyak 10 kali iaitu di Melaka pada tahun 2000, Moscow, Rusia (2004), Ostrava, Republik Czech (2006), Jeju, Korea Selatan (2007), Dubai (2009), Varanasi, India (2010), Melaka (2011), Bangkok, Thailand (2012) dan Budaors, Hungary (2013), Mumbai, India (2014).
Beliau yang digelar 'Orang Besi Malaysia' juga pernah meraih sembilan kali gelaran Mr Asia iaitu 1996, 1998, 1999, 2000, 2004, 2009, 2010, 2012 dan 2014.
Sementara itu Setiausaha Kehormat PBBM, Kamaruzaman Kadir enggan mengesahkan atlet yang positif doping itu adalah Sazali.
Kamaruzaman berkata presiden badan induk sukan itu sendiri akan mengumumkan nama atlet terbabit minggu depan.
Katanya atlet berkenaan bakal berdepan dengan hukuman penggantungan selama empat tahun yang ditetapkan oleh Agensi Antidoping Dunia (WADA).
"Apabila ada kesalahan akan dikenakan hukuman sewajarnya. Atlet itu juga tidak mahu membuat ujian sample B. Kami memberi beliau (atlet) peluang untuk bercakap dan menjelaskan perkara itu pada minggu depan," katanya kepada pemberita.
Kamaruzaman berkata seseorang atlet sepatutnya tidak mengambil jalan mudah untuk mendapatkan bentuk badan yang sasa dalam tempoh yang singkat kerana masih ada banyak kaedah lain.
#doping #mr universe #Sazali Samad
;