Tunggakan LHDN: 'Salah saya sendiri' - Khairul Fahmi
Astro Arena
Jun 24, 2016 21:04 MYT
Jun 24, 2016 21:04 MYT
PENJAGA gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat, membuat pengakuan ikhlas isu dia dikenakan sekatan perjalanan ke luar negara adalah gara-gara mempunyai tunggakan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Khairul Fahmi gagal terbang bersama rakan sepasukan ke Brisbane pada 11 Jun lalu dan terlepas perlawanan persahabatan bertemu Papua New Guinea.
Berasa kesal dengan apa yang terjadi, penjaga gol Kelantan itu menganggap insiden berkenaan memberi pengajaran berguna kepadanya agar lebih berwaspada.
Malah, Khairul Fahmi tidak menafikan berasa sedikit tertekan apabila mengetahui perkara itu menjadi viral di media sosial.
"Saya agak terkejut, tapi itu salah saya sendiri.
"Untuk masa depan, perkara ini perlu dititikberatkan. Tekanan itu memang ada sedikit, tapi itu perkara biasa.
"Yang penting saya perlu fokus dalam kerjaya saya," katanya.
Berdepan Fiji pada Ahad, penjaga gol berusia 27 tahun itu berharap diberi kesempatan selepas tidak diturunkan dalam empat perlawanan terakhir pasukan negara.
Khairul Fahmi kini dilihat seolah-olah menjadi penjaga gol pilihan ketiga di belakang Izham Tarmizi Roslan dan Mohd Farhan Abu Bakar.
"Saya akan bekerja keras dalam sesi latihan di Fiji ini untuk merebut tempat semula."
#berita sukan
#Khairul Fahmi Che Mat
#LHDN
#Papua New Guinea
#penjaga gol kebangsaan
#tunggakan LHDN