Tunggakan gaji pemain Perak FC dijangka selesai dalam 10 hari
Bernama
Disember 1, 2021 13:42 MYT
Disember 1, 2021 13:42 MYT
PENGERUSI Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak Khairul Shahril Mohamed berkata perkara tersebut telah dimaklumkan kepada pihaknya dan percaya isu itu dapat diselesaikan dengan sebaik-baiknya.
"IMC meminta ruang bagi menyelesaikan isu tersebut dan kami akan beri masa kepada pihak mereka," katanya kepada Bernama selepas menyaksikan pementasan teater Labun Mak Dara di Auditorium Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini, malam tadi.
Tunggakan gaji para pemain pasukan Perak FC kini mencecah tiga bulan dan ia sampai ke pengetahuan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM).
Mengulas mengenai pengambilalihan Perak FC oleh IMC daripada Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Khairul Shahril berkata, ia pastinya memberi kelegaan dan satu petanda positif kepada ramai pihak khasnya penyokong serta peminat The Bos Gaurus.
Beliau pada masa sama menasihatkan PAFA agar menghentikan segala kemelut yang melanda sebelum ini bagi memastikan masa depan lebih cerah Perak FC di bawah pengurusan baharu mereka.
"Cukup dengan apa yang sudah berlaku dan mereka haruslah berlapang dada agar tidak mengeruhkan suasana. Apa yang penting, kita perlu menyambut usaha IMC dalam menguruskan urusan Perak FC," katanya.
-- BERNAMA