Tunggakan gaji pemain: KAFA terima satu lagi surat FIFA
Bernama
Jun 11, 2020 14:10 MYT
Jun 11, 2020 14:10 MYT
Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menerima satu lagi surat daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang mengarahkan KAFA melunaskan tunggakan gaji seorang lagi bekas pemain import Alaeddine Bouslimi.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak KAFA Ahmad Muzakkir Hamid berkata surat arahan itu yang diterima dua hari lepas adalah kes tuntutan tunggakan gaji ketiga selepas Cassio Francisco De Jesus dan Bruno Lopes, kedua-duanya dari Brazil.
"Pemain dari Tunisia itu yang bersama pasukan Kelantan pada musim 2018 menuntut tunggakan berjumlah RM157,380.
"Kami jangka persatuan akan berterusan mendapat surat daripada FIFA berhubung tuntutan hutang bekas pemain import dan mungkin ada lapan lagi kes tuntutan termasuk bekas jurulatih," katanya di sini hari ini.
Sebelum ini, KAFA menerima tuntutan tunggakan gaji daripada Cassio dan Bruno, masing-masing sebanyak RM629,620.28 dan RM141,103.60.
Ahmad Muzakkir berkata tambah memeritkan, KAFA perlu melunaskan tunggakan gaji bekas pemain tempatan menjelang tarikh akhir yang diberi Persatuan Bola Sepak Malaysia pada 30 Jun ini.
"Kami di KAFA masih berusaha sedaya upaya dan mengutamakan tuntutan pemain tempatan. Kami masih belum angkat bendera putih, masih berusaha sehingga ke titisan akhir walaupun keseluruhan hutang berjumlah kira-kira RM5 juta," katanya.
Menurutnya KAFA telah melunaskan secara berperingkat hutang 2019 melibatkan antaranya Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Katanya setakat ini KAFA mengumpulkan kira-kira RM25,000 menerusi tabung selamatkan bola sepak Kelantan yang dilancarkan Mac lepas, dan tabung akan terus dibuka sehingga 31 Ogos ini.
-- BERNAMA
#Ahmad Muzakkir Hamid
#Bruno Lopes
#Cassio Francisco De Jesus
#FIFA
#KAFA
#Persatuan Bola Sepak Kelantan
#Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa