Tun Ameerul Luqman juarai Jelajah PBA dengan perbelanjaan sendiri
Bernama
Mac 19, 2025 17:00 MYT
Mac 19, 2025 17:00 MYT
Menurut Chok (kiri) pengorbanan Tun Ameerul Luqman yang sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri demi bersaing wajar diberi pujian penuh. - Foto Bernama
PETALING JAYA: Pengorbanan jaguh tenpin boling negara Tun Ameerul Luqman Al-Hakim Tun Hasnul Azam yang sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri demi bersaing di peringkat tertinggi sehingga mencipta sejarah sebagai pemain Malaysia pertama menjuarai Jelajah Persatuan Pemain Boling Profesional (PBA) di Amerika Syarikat, semalam wajar diberi pujian penuh.
Ini kerana Setiausaha Agung Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) Maradona Chok memaklumkan sejak dua tahun lepas, tiada tajaan diberikan kepada pemain negara yang menyertai PBA dan Jelajah Boling Profesional Wanita (PWBA) atas beberapa faktor yang telah dipersetujui bersama.
"PBA dan PBWA, ialah jelajah profesional dan keduanya kos untuk menghantar pasukan, dengan menghantar satu pasukan kira-kira 20 pemain akan menelan belanja yang banyak. Jadi perjanjian antara MTBC dan Majlis Sukan Negara ialah kami terhadp kepada Asia, yang kami bertanding sebagai satu pasukan.
"Jadi program bersama MSN hanyalah untuk di Asia dan selain daripada Asia, MTBC telah memberikan kebenaran untuk pemain jika mereka mahu pergi luar daripada Asia. Kalau Asia naik ranking, yang Eropah dan Amerika Syarikat tidak termasuk dalam ranking," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Sunway Megalanes di sini, hari ini.
Sementara itu, Presiden MTBC Datuk Mohd Najeeb Abdullah memaklumkan pihaknya akan mengkaji semula tajaan daripada Kementerian Belia dan Sukan melalui MSN, bagi membantu atau menaja atlet untuk kejohanan pada tahun-tahun akan datang.
Ini kerana Mohd Najeeb berpendapat kejohanan PBA dan PBWA merupakan platform terbaik bagi pemain mendapatkan saingan serta pendedahan, memandangkan ia disertai ramai bintang dunia.
"Saingan yang lebih baik kerana semua pemain yang bagus ada, jadi saya rasa di masa akan datang pasukan kita boleh pertimbangkan jika kita ada pihak sponsor dan bukan sahaja bergantung kepada MSN tetapi kita juga akan berusaha mencari.
"Macam sebelum ke PBA, saya sempat bertemu Tun Ameerul dan rakan lain dan mereka mengeluarkan lebih RM30,000 setiap seorang untuk berada di sana hampir sebulan," katanya.
Tun Ameerul Luqman Al-Hakim, 25, dinobatkan sebagai juara PBA Chameleon selepas menewaskan wakil Amerika Syarikat Kevin McCune 269-227 dalam saingan akhir stepladder di National Bowling Stadium Reno, Nevada.
-- BERNAMA
#Tun Ameerul Luqman
#juara Jelajah PBA
#Jelajah Persatuan Pemain Boling Profesional
#belanja sendiri
#Maradona Chok