Tumpuan kepada badminton sumbang emas ketiga Malaysia
Bernama
Ogos 2, 2022 10:01 MYT
Ogos 2, 2022 10:01 MYT
BIRMINGHAM: Tumpuan peminat sukan tanah air pada hari kelima Sukan Komanwel Birmingham 2022 pada Selasa (2 Ogos), pastinya terarah kepada skuad badminton dalam menghadiahkan pingat emas buat kontinjen negara.
Selepas dua hari tanpa kilauan emas, rentak kemenangan pasukan badminton negara dalam acara berpasukan campuran amat ditagih dalam menyumbangkan emas walaupun misi tersebut dianggap sukar apabila terpaksa berdepan juara bertahan, India.
Pada aksi separuh akhir hari ini, skuad badminton kebangsaan tidak berdepan masalah menjinakkan tuan rumah, England, 3-0 manakala India menumpaskan Singapura dengan keputusan yang sama.
Hari keempat temasya pada Isnin (hari ini) menyaksikan kontinjen negara sekadar meraih satu perak dan satu gangsa.
Pingat perak disumbangkan skuad ping pong dalam acara berpasukan wanita selepas tumpas kepada Singapura di pentas final, manakala gangsa menerusi atlet boling padang berpengalaman Siti Zalina Ahmad dalam acara singles wanita.
Skuad angkat berat yang sebelum ini cemerlang menyumbangkan dua pingat emas pada Sabtu dan sebutir perak pada Ahad, hari ini gagal menjelmakan pingat apabila Mohamad Nasir Roslan hanya menduduki tempat ketujuh dalam kategori 81 kilogram.
Acara olahraga yang akan membuka tirai pada hari kelima temasya di Stadium Alexander di sini, bakal menyaksikan aksi atlet lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin pada pusingan kelayakan.
Selepas berakhir hari keempat temasya hari ini, Malaysia berada di kedudukan kelapan dengan pungutan dua pingat emas, dua perak dan dua gangsa.
Australia kekal sebagai pendahulu kedudukan pingat apabila meraih 31 emas, 20 perak dan 20 gangsa, diikuti tuan rumah England di tempat kedua dengan 21-22-11 manakala New Zealand di tangga ketiga 13-7-4.
-- BERNAMA